Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Sidang kemuncak GCC, Liga Arab: Raja Salman kecam Iran

Qatar terus didesak ubah polisi jika mahu sekatan ditarik balik

MAKKAH, 27 Ramadan 1440H, Sabtu – Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, membuka sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di sini, dengan menggesa komuniti antarabangsa menggunakan semua cara, berdepan Iran, namun menyatakan kesediaan ke arah perdamaian.

Beliau berucap pada sidang pertama daripada tiga pertemuan pemimpin negara-negara Islam di sini susulan ketegangan meningkat antara Arab Saudi dan Iran. Dua lagi sidang kemuncak ialah Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ketegangan juga tercetus antara Tehran dan Washington sejak beberapa minggu lalu, dengan Amerika Syarikat (AS) menambah kekuatan tentera dan peralatan perangnya, termasuk kapal pengangkut dan pesawat pengebom B-52, di rantau Teluk.

Krisis kedua-dua negara itu bermula sejak tahun lalu, apabila Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran.

Berucap pada sidang GCC, Raja Salman berkata, tuduhan sabotaj empat kapal tangki di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan serangan dron ke atas paip minyak negara itu, awal bulan lalu adalah suatu ancaman kepada negara Arab lain.

Iran bagaimanapun, menafikan tuduhan itu.

Beliau menggesa komuniti antarabangsa menggagalkan tingkah laku Iran, dan menggunakan pelbagai cara untuk menghentikan rejim Tehran, daripada mencampuri urusan dalaman negara lain, menyokong pengganas, dan mengancam perairan antarabangsa.

Raja Salman juga menegaskan bahawa Arab Saudi kekal dengan komitmen untuk mewujudkan perdamaian dan keamanan di rantau itu.

Gambar seribu makna ditularkan dalam media sosial, dengan menyatakan sokongan kepada Qatar. Kelihatan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, memerhati Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah bin Nasser Al Thani, sebelum sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk di Makkah, semalam.

Antara yang hadir pada sidang kemuncak GCC itu ialah pemimpin Kuwait, Bahrain, UAE, Oman dan Qatar.

Sidang kemuncak GCC itu akan diikuti dengan sidang tergempar 22 negara Liga Arab, kecuali Syria yang mana keanggotaannya masih digantung.

Riyadh bagaimanapun, berdepan masalah. Tatkala, GCC boleh dikatakan ‘kelab eksklusif’, negara Arab lain, mempunyai pandangan berbeza berhubung kes dengan Iran.

Oman, contohnya, mempunyai hubungan dan kerjasama dengan Arab Saudi dan Iran, dan bertindak sebagai orang tengah.

Qatar, yang terus menghadapi sekatan oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir berhubung polisi luarnya, menyebabkan negara itu rapat dengan Iran.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah bin Nasser Al Thani, hadir pada sidang kemuncak di kota suci umat Islam, menjadikan beliau sebagai pegawai atasan dari Doha yang melawat Arab Saudi sejak sekatan dikenakan pada 2017 lalu.

Tatkala, pemimpin negara Arab berkumpul untuk mengadakan mesyuarat, Sheikh Abdullah dilihat bersalaman dengan Raja Salman, tetapi tidak dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed, atau Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, juga dilihat bersalaman dengan Sheikh Abdullah, tetapi tidak bertegur-sapa.

Sidang kemuncak OIC pula dijadual hari ini, yang akan memfokuskan isu kebebasan dan kenegaraan Palestin. Ia akan disertai 57 negara OIC, di mana Malaysia diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, Arab Saudi bersedia menarik balik sekatan dikenakan ke atas Qatar jika Doha mengubah polisi luarnya, termasuk tidak lagi menyokong Iran.

Menteri Luarnya, Ibrahim al-Assaf berkata, antara penyelesaian krisis di Teluk ialah Doha mengambil ‘jalan yang betul’, dan selagi tidak berbuat demikian, sekatan dikenakan tidak akan berubah. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close