KolumnisUtama

Muhasabah Syawal: Apakah Ramadan gagal didik kita?

Sambutan Aidilfitri lebih kepada hiburan dan pembaziran

Kini, tibalah giliran Syawal yang kita nobatkan sebagai bulan kemenangan, bakal menemui kita. Bulan Syawal adalah bulan yang terbaik untuk menilai samada kita berjaya mengubah diri kita kepada yang lebih baik, atau masih kekal di takuk lama.

Kita boleh menilai diri kita samada kita berjaya diasuh oleh Ramadhan ataupun tidak. Ramadan mengasuh kita menjauhi syaitan dan mengganggap syaitan itu sebagai musuh yang nyata.

Al Quran telah memberi peringatan supaya sedar dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syaitan yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT sebagai musuh yang nyata. Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya (bersama-sama) menjadi penduduk neraka. (Surah Fatir ayat 6 )

Ramadhan juga juga melatih kita membina tembok dan benteng daripada rempuhan musuh-musuh yang nyata ini.
Rasulullah ﷺ bersabda:
Terjemahannya: Puasa adalah benteng dan pertahanan yang kukuh dari api neraka. (Hadith Sahih)

Kita sangkakan kita sudah berkerat rotan dan mengisytiharkan perang habis-habisan dengan musuh yang nyata ini. Namun hakikatmya, kita hanya membuat gencatan senjata yang bersifat sementara. Seawal satu Syawal, ramai dari kalangan kita kembali menghulur tangan menjalin semula persahabatan dan kembali menjadi pengikut setia syaitan. Bahkan, ada yang bertindak seolah-olah menjemput syaitan untuk menguasai pemikiran dan tindak tanduk seharian.

Jika Ramadan digambarkan mempunyai perasaan seperti manusia, nescaya kita dapati Ramadan sangat berdukacita dan hiba atas kelakuan kita.

Antara contoh kesalahan menyambut Syawal adalah:

1. Rumah-rumah terbuka kita, sama ada yang kecil apatah lagi yang besar, seolah-olah tidak lengkap tanpa hiburan yang menyalahi syariat. Dendangan lagu yang berlebihan oleh artis yang tidak pula menjaga batasan syariat semakin mencacatkan hari kemenangan. Kesan pemikiran penjajah masih tebal dalam kehidupan kita, di mana hiburan tidak dilandaskan kepada syariat Islam.

2. Siaran-siaran media kita kebanyakannya mengisi hari kemenangan dengan hiburan dan nyanyian. Tanpa segan silu, seolah tiada lagi larangan, mereka berhibur semahunya. Islam tidak melarang hiburan, tetapi ingatlah, salah cara kita memilih hiburan bermakna kita telah meruntuhkan benteng Ramadan kita.

3. Mengadakan rumah terbuka itu baik untuk merapatkan hubungan tetapi jika berlaku pembaziran, ia adalah pekerjaan syaitan. Berdasarkan firman Allah SWT :
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(surah al Isra ayat 28)
Elakkan pembaziran. Rumah terbuka yang diiringi dengan riak dan takabbur, menunjukkan kita masih mesra dengan sifat utama syaitan.

4. Tidak bertambah cemburu terhadap apa yang berlaku kepada Islam dan umatnya seiras dengan sifat syaitan, yang mana syaitan itu takut dengan dengan laungan azan dan syiar-syiar agama. Manakala manusia pengikut syaitan secara tidak langsung ‘takut’ dan tidak mengambil berat syiar agama.

Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila panggilan solat (azan) dikumandangkan, maka syaitan akan lari sambil kentut-kentut hingga dia tidak mendengar azan lagi,” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Mengapa syaitan lari ketika mendengar azan? “Kalimah ‘adbaras-syaitan’ menggambarkan keadaan syaitan ketika ia lari apabila mendengar azan, kerana syaitan menganggap azan sebagai sesuatu yang sangat besar dan menakutkan. Allah SWT menggambarkan ia lari terkentut-kentut. Ketakutan dan ketegangan membuatkan sendi menjadi kendur, sehingga seseorang yang takut tidak boleh lagi menguasai dirinya. Saluran sendi dan najis menjadi terbuka, hingga boleh kencing atau terkentut.

Lalu mengapa syaitan begitu takut dengan suara azan melebihi ketakutannya pada ayat-ayat Al-Quran secara umum? Syaitan lari mendengar suara azan kerana azan mengandungi kalimah tauhid dan syiar-syiar Islam. Syaitan juga putus asa dalam menggoda seseorang apabila terdengar pernyataan tauhid.

Begitulah hakikatnya masih ramai di kalangan kita yang cuba lari dari kebenaran. Umat Islam sudah kurang sensitif dengan syiar Islam. Kebanyakan kita hanya berdiam diri apabila syiar Islam dipermain-mainkan. Syiar Islam seolah dipaksa duduk seiring dengan agama lain. Walhal, Islam adalah agama yang mesti diyakini benar serta syiar Islam mesti menjadi kebanggaan dan keutamaan umat Islam.

Islam agama yang paling mulia, kedudukan Islam tiada yang boleh mencabarnya. Namun, kedudukan Islam tidak akan kekal tanpa kesungguhan umatnya. Syiar Islam sentiasa dicabar dan cuba dihakis sedikit demi sedikit.

Umat Islam perlu membina kekuatan dengan perpaduan dan semangat persaudaraan. Persaudaraanlah yang telah memberi kemenangan kepada Islam zaman berzaman.

Jangan pula ada dikalangan kita menambahkan perisa perbalahan. Tidak sedikit di kalangan orang Islam yang sama-sama berpuasa dalam bulan Ramadan, bersungguh-sungguh mencari lailatulqadar tetapi kemudiannya lari dan melupakan keutamaan perjuangan mempertahankan Islam ibarat syaitan yang berlari terkentut-kentut apabila mendengar azan.

Moga menjadi muhasabah buat seluruh umat Islam.

Sahibus Samahah,

Ustaz Hj Zamri Hashim
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia
ISMA Cawangan Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close