Berita UtamaUtama

Anggota polis maut dirempuh motosikal ketika bertugas

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

JOHOR BHARU, 27 Ramadan 1440H, Sabtu – Seorang anggota polis maut akibat dirempuh motosikal ketika sedang bertugas dengan rakannya di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu turut menyebabkan rakan sepasukannya, Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, serta penunggang motosikal Yamaha 135LC, Thevarajan, 36, cedera parah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Mohd Taib berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota polis dari Balai Polis Tampoi sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah van dibahu jalan laluan terbabit.

“Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling terlanggar kedua-dua anggota polis terbabit.

“Akibat rempuhan, seorang anggota iaitu pemandu kereta peronda (MPV) maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota dan penunggang motosikal cedera parah,” katanya.

Mohd Taib berkata, mayat anggota polis dihantar ke HSA untuk bedah siasat, lapor Kosmo.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close