ArtikelUncategorized

Tidak wajar beri ruang kepada Syiah dalam negara Ahli Sunnah

Sahabat Rasulullah ﷺ pun ditohmah, inikan pula umat Islam hari ini

APABILA berbicara mengenai Syiah, perlu difahami ia bukanlah sesuatu yang ringkas dan mudah. Persoalan yang timbul tidak akan mampu dijawab dengan jawapan yang langsung dan simplistik.

Hakikatnya pergeseran antara Ahli Sunnah dan Syiah telah melangkaui perbezaan mazhab, bahkan ia memasuki daerah politik yang semestinya menjadi titik-titik yang hampir mustahil dapat ditemukan.

Masakan tidak, faktor politik (wilayah dan imamah) bukan sahaja menjadi kewajiban di sisi Syiah, malahan ia juga dianggap sebagai salah satu rukun Islam yang wajib ditegakkan. Maka, kini ia bukan lagi perselisihan mazhab dalam perkara kecil, tetapi ia membawa implikasi yang jauh lebih mencengkam.

Mengikut akidah Syiah, sesiapa yang mengingkari wilayah Ahli Bait dianggap kufur dan pincang agamanya lantas kekal dalam neraka (lihat al-Shihab al-Thaqif fi Bayan Makna al-Nasib oleh Yusuf al-Bahrani, cetakan Qum Iran, h. 84).

Hal ini mengakibatkan pergeseran yang asalnya bersifat politik dan kepimpinan akhirnya dianggap perselisihan akidah yang membawa kepada budaya takfiri.

Lebih menghibakan pengkafiran itu juga tidak terlepas ke atas sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ. Ini jelas ada dalam kepercayaan mereka apabila mereka beranggapan hanya tujuh sahabat nabi yang tidak murtad, manakala yang lainnya murtad dan kufur apabila berbai’ah kepada Abu Bakar dan menolak wilayah Ali (dipetik daripada riwayat al-Kasyi. Lihat al-Bahrani, h. 205).

Lebih jelek mereka sanggup menqiyaskan sahabat dengan pengikut Nabi Musa yang berpaling sepeninggalan baginda lalu menyembah lembu Samiri. Disebutkan petikan daripada riwayat al-Tabarsi:

… وكذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ البيعة لعلي بن أبي طالب صلوات الله عليه بالخلافة على عدد أصحاب موسى عليه السلام فنكثوا واتبعوا العجل سنة بسنة ومثلا بمثل الحديث

Mafhumnya: … Maka demikianlah Rasulullah ﷺ telah meletakkan bai’ah khilafah kepada Ali bin Bin Talib. (Maka) Seumpama bilangan pengikut Nabi Musa AS (70,000), mereka berpaling dan mengikuti patung lembu seperti yang telah berlaku (apabila Nabi Musa menyerahkan khilafah kepada Nabi Harun, mereka berpaling dan menyembah lembu Samiri) (lihat al-Bahrani, h. 203)

Bagi mereka, sesiapa yang tidak bersetuju dengan imamah Saidina Ali dan keturunannya sebagai kafir, hina, dan najis. Perhatikan:

عن أبي عبدالله عليه السلام في حديث قال فيه بعد أن أذكر اليهودي والنصراني والمجوسي، قال: والناصب لنا أهل البيت وهو شرهم، فإن الله لم يخلق خلقا أنجس من الكلب، وأن الناصب لنا أهد البيت لأنجس منه.

Mafhumnya: Daripada Abu Abdullah AS pada menyatakan berkenaan Yahudi, Nasrani dan Majusi, beliau berkata: Golongan al-Nasib (yang mengingkari imamah Ali; kebiasaannya ditujukan kepada Ahli Sunnah) di sisi kami Ahli Bayt adalah yang paling buruk/jahat (berbanding Yahudi, Nasrani dan Majusi). Sesungguhnya Allah tidak menciptakan ciptaan yang lebih najis daripada anjing, dan al-Nasib di sisi kami lebih najis dari itu. (dipetik dari riwayat al-Saduq dalam al-Bahrani, h. 233).

Kemaksuman Saidina Ali dan keturunannya adalah kemaksuman yang mutlak, dan wajib diikuti. Bahkan kemaksuman mereka setaraf dengan nabi sesuai sebagai wali baginda dan lebih mulia berbanding malaikat (lihat ‘Aqa’id al-Imamiyah oleh Muhammad Rida al-Muzaffar, h. 56).

Oleh itu sesiapa sahaja yang pernah mengingkari mereka adalah sejahat-jahat manusia. Abu Bakar, Umar dan Khalid al-Walid antara sahabat yang sering dilemparkan kalimah kafir ke atas mereka.

Seterusnya dinyatakan oleh al-Saduq bahawasanya sesiapa yang mati dan tidak mengenal (memperakui) imamnya yakni imam dalam kalangan Ahli Bayt, maka kematiannya adalah kematian jahiliyah dan kekufuran (Lihat ‘Iqab al-A’mal oleh Ibn Babwayh al-Qummi atau lebih masyhur dengan nama al-Saduq, jil 2, cet. Qum Iran, h. 10). Bahkan beliau juga menyebutkan kedudukan golongan Nawasib sebagai lebih hina daripada anjing dan babi (h. 29).
 
 
Apabila meneliti sikap mereka terhadap sesiapa sahaja yang mengingkari wilayah dan imamah Ahli Bait, tidak hairanlah mereka ini tidak wajar diberikan ruang yang selesa dalam sebuah negara yang yakin dan berpegang teguh dengan Sawad al-A’zam iaitu Ahl Sunnah wal Jamaah; yang mana menjadi subjek kecaman mereka dalam perkara ini.

Lebih menyukarkan keadaan, mereka juga turut mengimani konsep taqiyah (berpura-pura) secara melampau dan meyakininya sebagai salah satu tiang dalam agama (Lihat al-Taqiyah fi al-Fikr al-Islami, 1419H, edaran Markaz Risalah, sumber atas talian).

Keimanan dan pengamalan konsep ini membuatkan ianya teramat susah untuk mengenal pasti i’tiqad mereka dan kedudukan kita dalam hati mereka.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri untuk mengharamkan pengamalan dan penyebaran Syiah dan menganggap ia sebahagian daripada ajaran yang menyeleweng ialah satu keputusan yang telah dibuat dengan cermat, teliti dan mengambil kira maslahah umat Islam.

Alangkan sahabat ditohmah begitu berani, inikan pula kita hari ini. Sewajarnya kebijaksanaan mufti tidak perlu dipersoalkan sebegini.

Ustaz Adam Badhrulhisham
Pensyarah Usuluddin Kolej Universiti Islam Melaka

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam laman Facebook penulis.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close