Berita UtamaUtama

Samseng jalan hentak cermin kereta wanita kena tangkap

Polis buru rakan suspek bantu siasatan kes di Seri Kembangan

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1440H, Jumaat – Seorang penunggang motosikal yang bertindak samseng dengan menghentak cermin sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita di Seri Kembangan, dekat sini, Selasa lalu, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, suspek berusia 30-an dan bekerja sebagai pembantu stor kilang, ditahan pada jam 3 petang di sekitar Balakong, dekat sini.

“Polis turut turut merampas sebuah motosikal dan topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ismadi berkata, polis kini memburu rakan suspek bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Selasa lalu, pemandu wanita berkenaan, yang bekerja sebagai pembantu kedai kek, mendakwa penunggang motosikal berkenaan menghentak cermin hadapan keretanya sehingga retak dengan topi keledar ketika memandu di Seri Kembangan.

Laporan media menyebut dua buah motosikal ditunggangi dua lelaki dikatakan berhenti mengejut di hadapan sebuah kereta Proton Axia sehingga menyebabkan pemandu berusia 22 tahun tersebut terpaksa membrek.

Mangsa mendakwa lelaki terbabit menghentak cermin keretanya kerana tidak berpuas hati selepas beliau membunyikan hon.

Perbuatan lelaki itu dirakam oleh mangsa menggunakan kamera ‘dashcam’ dan rakaman video itu tular di media sosial sejak kelmarin. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close