Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Remaja Palestin ditembak mati cuba masuk Masjid al-Aqsa

Ratusan ribu warga Palestin beribadah di Masjidil Aqsa malam ini

TEBING BARAT, 26 Ramadan 1440H, Jumaat – Seorang budak lelaki dari sini ditembak mati askar rejim pengganas Israel hari ini, ketika cuba memasuki Baitulmaqdis, lapor media Palestin.

Abdullah Ghaith, 16 tahun, dari Hebron, dilaporkan cuba memasuki Baitulmaqdis malam tadi untuk bersolat di Masjid Al-Aqsa bagi malam Jumaat terakhir Ramadan.

Agensi berita Palestin, Ma’an melaporkan Abdullah ditembak di dada, sementara seorang lagi lelaki juga ditembak dan berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian lebih awal, remaja lelaki berusia 18 tahun ditembak mati oleh polis rejim Zionis kerana dituduh menikam dua warga Israel di Baitulmaqdis.

Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengenal pasti pemuda itu sebagai Yousef Wajih, dari Kampung Abwein di tengah Tebing Barat.

Puluhan ribu umat Islam beribadah di dalam dan sekitar Masjid Al-Aqsa, malam ini.

Jurucakap polis rejim, Micky Rosenfeld berkata, pihak berkuasa turut meningkatkan pemeriksaan di lintasan Qalandia – antara Baitulmaqdis dan Tebing Barat yang diduduki – di mana ribuan warga Palestin biasanya melintas untuk solat Jumaat.

Rosenfeld mendakwa pisau digunakan turut dijumpai dalam jaket budak lelaki itu.

Rakyat Palestin dari tebing Barat biasanya dilarang memasuki Baitulmaqdis tanpa permit yang sukar diperoleh.

Larangan itu bagaimanapun dibatalkan bagi lelaki dan wanita berusia 50 tahun ke atas ketika Ramadan, membolehkan mereka bersolat di Masjid Al-Aqsa.

Namun, lelaki muda Palestin masih tidak dibenar memasukinya, menyebabkan ribuan daripada mereka sanggup memanjat tembok yang didirikan rejim Zionis, semata-mata untuk bersolat di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan.

Hari ini dilihat penting kerana memasuki malam ke 27 Ramadan, yang dikatakan Malam Lailatulqadar, di mana sekurang-kurangnya 300,000 umat Islam biasanya memenuhi masjid itu dan sekitarnya untuk beribadah. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close