Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Filipina hantar balik 69 kontena sisa buangan ke Kanada

Asia Tenggara jadi destinasi baharu negara maju buang sampah

MANILA, 26 Ramadan 1440H, Jumaat – Sebuah kapal kargo membawa ribuan tan sampah yang dibuang Kanada di Filipina sejak lebih lima tahun lalu, meninggalkan pelabuhan di Teluk Subic, hari ini, menuju ke Vancouver.

Pembuangan sampah di Filipina oleh Kanada mencetuskan pergeseran diplomatik Manila dan Ottawa, tatkala negara lain di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menolak dijadikan ‘tapak pelupusan sampah’ oleh negara maju.

Enam puluh sembilan kontena sisa buangan diisi di atas kapal M/V Bavaria di pelabuhan Teluk Subic awal hari ini, sebelum berlepas ke barat daya Kanada yang akan mengambil masa 20 hari perjalanan.

Aktivis alam sekitar, termasuk daripada Greenpeace dan gabungan EcoWaste, menyambut ketibaan M/V Bavaria di Teluk Subic, dan mengiringi kapal itu Selasa lalu, sambil membawa sepanduk ‘Filipina: Bukan tapak pembuangan sampah!’.

Presiden Rodrigo Duterte, sebelum ini mengancam untuk menghantar semula sampah, yang mana pegawai Filipina berkata sias buangan itu dibawa masuk ke Filipina dalam 103 kontena antara 2013 hingga 2014, dan diisytihar secara palsu sebagai bahan plastik kitar semula.

Bagaimanapun, beberapa kontena telah dilupuskan, meninggalkan 69 lagi yang dipenuhi sisa buangan, termasuk lampin bayi, dan barang elektrik, yang membusuk dan mereput di dua pelabuhan di Filipina.

Awal bulan ini, Manila memanggil pulang duta dan konsul di Kanada, selepas Ottawa gagal mematuhi tarikh akhir mengambil semula sampah, pada 15 Mei lalu.

Kelmarin, Malaysia mengumumkan akan menghantar pulang 450 tan metrik sisa buangan plastik ke negara sumber, termasuk Australia, Bangladesh, Kanada, China, Jepun, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dilaporkan berkata akan menghantar balik 450 tan metrik sisa plastik tercemar daripada 10 kontena, dan pada masa sama menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 50 buah kontena yang masuk secara haram.

Sejumlah 3,000 tan metrik sisa plastik daripada 60 kontena dijangka akan dihantar balik selepas pemeriksaan sepenuhnya dijalankan.

Sepuluh kontena itu yang akan dihantar balik adalah dari Australia, AS, Kanada, Arab Saudi, Jepun, China dan Bangladesh. Ini adalah tambahan kepada lima kontena yang telah dihantar balik ke Sepanyol pada 29 April 2019.

Semua kontena itu dipenuhi sisa plastik yang tercemar, tidak homogen, berkualiti rendah, tidak boleh dikitar semula dan akan diproses di kilang-kilang yang tidak mempunyai teknologi kitar semula yang mesra alam. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974.

China sebelum ini, telah lama menerima sisa plastik dari seluruh dunia. Bagaimanapun, sejak tahun lalu, Beijing menutup pintunya untuk tujuan itu, menjadikan negara di Asia Tenggara sebagai destinasi baharu.

Ketika di Tokyo, Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengkritik perbuatan negara maju seperti AS, Kanada dan Jepun, menghantar sisa buangan yang tidak boleh diproses ke negara miskin. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close