Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

VIDEO | Selatan Thai bergegar

Tiga terbunuh dalam dua letupan bom di Pattani dan Songkhla

PATTANI, 23 Ramadan 1440H, Selasa– Dua penduduk terbunuh, manakala 14 lagi cedera dalam serangan bom menggunakan motosikal di bazar Ramadan Pekan Bo Thong, daerah Nong Chik di sini, kira-kira jam 4.15 petang semalam waktu tempatan.

Salah seorang yang terbunuh adalah remaja lelaki berusia 14 tahun dikenali sebagai Aiyadilfitli Yoko dari Bo Thong, dan seorang wanita, Sareepa Ayohsae, 35 tahun dari daerah Betong di wilayah Yala.

Dalam kejadian ketika umat Islam membeli juadah untuk berbuka puasa itu, empat renjer tentera Thailand adalah antara 14 yang cedera. Mereka ialah Sarjan Mejar Somphon Limprasoet; renjer Chirasak Kaeo-nopparat; renjer Saidi Yako; dan renjer Apichat Rakdi.

Remaja berkenaan dilaporkan terbunuh di tempat kejadian, manakala wanita itu pula meninggal dunia di hospital. Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Nong Chik, kata polis.

Kesan daripada letupan itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa premis, dan kenderaan yang dipakir berhampiran pasar berkenaan.


Bernama melaporkan, Ketua Polis Wilayah Pattani, Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi berkata, bom buatan sendiri seberat 15 kilogram itu telah diletakkan di sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie talkie.

Sementara itu, di wilayah Songkhla, seorang anggota polis maut, manakala empat lagi cedera, termasuk seorang wanita awam dalam satu kejadian letupan bom di Chana.

Kejadian kira-kira 6 petang kelmarin waktu tempatan itu berlaku ketika pasukan polis sedang membuat pemeriksaan keselamatan di bahagian belakang Stesen Keretapi Chana.

Letupan bom yang dipasang pada motosikal menggegarkan sebuah bazar Ramadan di daerah Nong Chik, Pattani, menyebabkan dua terbunuh, dan 14 yang lain cedera.

Ketua Polis Bahagian ke-9, Lt Jeneral Ronnasin Phusara berkata, bom buatan sendiri itu dipercayai ditanam di bawah tanah, diletupkan dan mencederakan anggota polis yang sedang bertugas.

“Seorang anggota polis maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera parah.

“Seorang wanita awam yang turut berada di tempat kejadian cedera akibat serpihan bom tersebut. Semua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Chana,” katanya.

Beliau berkata semua laluan ke tempat kejadian kini tutup untuk siasatan lanjut, dan polis sedang menjejaki kumpulan yang mendalangi letupan itu.

Agensi berita melaporkan, kawalan keselamatan dipertingkatkan di Wilayah Yala; Pattani; dan Narathiwat, serta empat daerah di Songkhla iaitu Chana, Na Thawi, Thepha dan Saba Yoi.

Seorang anggota polis Thailand terbunuh, manakala empat lagi, termasuk dua orang awam cedera dalam serangan bom di belakang stesen kereta api Chana di wilayah Songkhla, semalam.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close