Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Myanmar bebas awal tujuh askar bunuh 10 lelaki Rohingya

4 pegawai, 3 pangkat lain sepatutnya jalani penjara 10 tahun

NAYPYITAW (MYANMAR), 23 Ramadan 1440H, Selasa – Kerajaan rejim junta Myanmar memberikan pembebasan awal kepada tujuh anggota tenteranya yang dipenjara kerana membunuh 10 lelaki Rohingya ketika tindakan keras tentera dua tahun lalu di negeri Rakhine, lapor agensi berita Reuters.

Reuters yang memetik dua pegawai penjara, dua bekas tahanan dan salah seorang tentera terbabit memberitahunya, semua askar itu dibebaskan November tahun lalu. Semua mereka sepatutnya menjalani hukuman penjara selama 10 tahun kerana melakukan pembunuhan di Kampung Inn Din.

Mereka juga menjalani hukuman penjara kurang daripada yang dikenakan terhadap dua wartawan Reuters yang membongkar jenayah berkenaan.

Kedua-dua wartawan itu, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, menjalani hukuman 16 bulan atas tuduhan memiliki rahsia kerajaan. Mereka dibebaskan pada 6 Mei lalu.

Ketua Warden Penjara Sittwe di Rakhine, Win Naing, dan pegawai kanan penjara di sini, mengesahkan semua askar yang dihukum itu sudah tidak berada di dalam penjara sejak beberapa bulan lalu.

“Hukuman ke atas mereka dikurangkan oleh pihak tentera,” kata pegawai penjara di sini yang enggan disiarkan namanya.

Kedua-dua pegawai penjara itu enggan memberikan maklumat terperinci, tetapi berkata mereka tidak tahu tarikh sebenar semua askar itu dibebaskan, tanpa diumumkan kepada awam.

Sejak operasi penghapusan dan kekejaman ke atas etnik muslim Rohingya di Rakhine pada 2017 lalu, hanya tujuh anggota tentera itu yang dituduh di mahkamah dan disabitkan kesalahan.

Kekejaman yang dilakukan di Rakhine menyebabkan lebih 730,000 etnik minoriti muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kekejaman yang dilakukan itu sebenarnya bermaksud melakukan penghapusan dan pembunuhan beramai-ramai, pemerkosaan dan pembakaran.

Rejim junta Myanmar menafikan melakukan kesalahan, sebaliknya memberi publisiti besar-besaran terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas tujuh anggota tentera itu, bagi menunjukkan pasukan keselamatan tidak menikmati kekebalan undang-undang.

Namun, kumpulan Pemantau Hak Asasi (HRW) mempersoalkan tindakan tentera negara itu yang menyembunyikan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di Rakhine.

“Pembebasan awal tujuh askar terbabit menunjukkan Jeneral Min Aung Hlaing, dan komander Tatmadaw (angkatan tentera) tidak mengiktiraf Rohingya sebagai manusia, dan tidak pernah komited untuk melihat sesiapa yang bertanggungjawab atas jenayah di Rakhine,” kata Timbalan Pengarah HRW (Asia Selatan), Phil Robertson.

Tindakan seperti itu, katanya, menunjukkan kenapa Tatmadaw baru-baru ini mewujudkan ‘mahkamah tentera’ untuk kes Rakhnie sebagai jenaka dan satu lagi alat di Myanmar.

Dihubungi menerusi telefon, seorang lelaki, Zin Paing Soe mengesahkan dia adalah salah seorang daripada tujuh anggota tentera yang kini bebas, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Kami diarah untuk menutup mulut,” katanya.

Kempen penghapusan 2017, dilancarkan di seluruh Rakhine susulan serangan kumpulan bersenjata Rohingya ke atas askar Myanmar. Reuters mendedahkan pembunuhan itu dalam laporan yang disiarkan pada 2018.

Pasukan tentera daripada Division 33 Infantri Ringan – unit bergerak yang dikenali dengan kempen kejamnya – bekerjasama dengan anggota polis separa tentera dan militan Buddha, telah menghalau keluar penduduk di Inn Din, membakar dan merompak rumah etnik Rohingya.

Pada 1 September 2017, askar dan beberapa penduduk Buddha menangkap 10 lelaki Rohingya. Tentera mendakwa lelaki berkenaan adalah pengganas, tetapi pihak keluarga berkata mereka adalah petani, pelajar sekolah tinggi dan guru agama Islam.

Keesokkan harinya, kata saksi, militan Buddha membunuh sebahagian daripada lelaki Rohingya itu dengan pedang, manakala yang lain ditembak mati oleh askar Myanmar, dan dikebumikan dalam sebuah kubur yang cetek.

Wartawan Reuters, Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, menemui kubur itu dan memperoleh gambar 10 lelaki berkenaan sebelum dan selepas mereka dibunuh.

Kedua-dua wartawan itu ditangkap pada Disember 2017 ketika menyiasat pembunuhan itu, dan kemudian dihukum penjara selama tujuh tahun mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Peguam wartawan itu mempersoalkan penangkapan dan pendakwaan cuba menghalang laporan kes itu, manakala seorang pegawai polis dalam keterangannya memberitahu bahawa pegawai lain telah mengarahkan kedua-dua pemberita itu diperangkap.

Pada April 2018, selepas melakukan siasatan terhadap pembunuhan itu, pihak tentera Myanmar mengumumkan empat pegawai dan tiga askar lain-lain pangkat dipecat daripada tentera, dan dijathui hukuman 10 tahun penjara dengan kerja berat kerana mengambil bahagian dalam pembunuhan itu. – Reuters

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close