Berita Utama

PH teruskan usaha iktiraf UEC jika menang PRU15

Mahu beri peruntukan adil pada SJKC, SJKT

BANGI, 8 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) mahu meneruskan usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan ianya dimasukkan dalam manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, pengiktirafan UEC – yang ditentang hebat dan menimbulkan kontroversi – pernah menjadi salah satu manifesto PH dalam PRU14.

Jika memenangi PRU15 ini, PH berkata, mereka akan meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Untuk tujuan ini, UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA,” kata PH dalam manifesto yang disiarkan di laman web rasmi mereka.

UEC mendapat bantahan rakyat Malaysia kerana ia bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta 556 Pendidikan Negara dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pejuang pendidikan dan NGO sebelum ini menegaskan bahawa UEC membawa silibus yang menyeleweng dari luar negara dan tidak mengguna Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Selain mengiktiraf UEC, PH juga dalam manifestonya mahu peruntukan yang adil diberikan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Untuk membantu setiap golongan yang mempunyai keperluan yang berbeza, peruntukan yang adil akan disalurkan kepada semua sekolah.

“Ini termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh, Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian, Sekolah Pondok yang berdaftar, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC),” katanya.

Terdahulu, PH memberi jaminan manifesto ‘10 Tawaran Harapan’ yang ditawarkan kepada lebih 21 juta pengundi pada PRU15 adalah realistik dan mampu ditunaikan.

Ia menawarkan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, memerangi rasuah, mengukuhkan institusi demokrasi, memperkasa peluang ekonomi belia dengan menerokai sektor manusiawi serta menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan.

Membina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan, menangani isu doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan, selain menghapuskan isu ketaksamaan gender dan memperkasa sosio ekonomi wanita.

Selain itu, PH juga mahu memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak, meningkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia serta memelihara khazanah alam demi anak cucu kita.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manifesto kali ini mampu dilaksanakan sebaiknya tanpa memberi alasan ia bukan kitab suci seperti mana yang diungkap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button