Berita UtamaUtama

Kerajaan belum putus kaedah kurangkan kadar tol

Ada beberapa cadangan pihak swasta ambil alih konsesi lebuh raya: PM

PUTRAJAYA, 22 Ramadan 1440H, Isnin – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kaedah mengurangkan kadar tol.

Mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan mampu mengurangkan kadar tol sehingga 25 peratus, beliau berkata, terdapat beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk mengambil alih konsesi lebuh raya.

Bagaimanapun katanya, kadar yang boleh dikurangkan tidak sampai 25 peratus.

“Kita sekarang menghadapi masalah, walaupun kita buat janji untuk hapus tol, tetapi apabila tol dihapuskan, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.

“Contohnya kalau hapus tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. Lebih baik belanja bayar hutang, boleh kita kurang sedikit beban kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara, di sini hari ini.

Bersetuju dengan pendapat Daim bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan akan meningkat jika kadar tol dapat dikurangkan, Dr Mahathir berkata: “Rakyat akan berasa lega tak perlu bayar tol tetapi kerajaan akan rasa tak lega kerana tol akan dibayar oleh kerajaan.”

Mengenai pemohonan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia supaya kerajaan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor Bumiputera untuk terbabit dalam kerja-kerja awam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir berkata kerajaan akan meneliti perkara itu.

“Kita ada tentukan supaya kontraktor tempatan dapat tempat tetapi sama ada mereka Bumiputera atau bukan Bumiputera belum ditentukan,” katanya.

Ditanya mengenai insentif Hari Raya Aidilfitri untuk peneroka Felda, Dr Mahathir meminta perkara itu ditanyakan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita tak bincang mengenai Felda (hari ini) tetapi kita telah bincang mengenai Felda banyak kali di dalam forum lain dan kita ada cadangan-cadangan lain untuk perbaiki keadaan di Felda,” katanya.

Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) baru-baru ini meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif atau duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara seperti amalan yang dilakukan sejak tahun 2011. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close