ArtikelBerita UtamaUtama

Gurauan poligami suatu bahana

'Awak nak tak jadi isteri kedua saya' adalah gangguan seksual: Penulis

APABILA kita menyebut soal poligami, pastilah yang menjadi juaranya adalah orang lelaki. Orang perempuan pula hanya makan hati berulam jantung. Lebih-lebih lagi buat isteri, amat sensitif jika disebut perkara ini walaupun sekali dalam perkahwinan.

Adakah semua wanita antipoligami? Salahkah poligami ini?

Saya bukan antipoligami. Saya hanya menulis untuk memberi sedikit ulasan dan pengajaran buat kita semua berdasarkan pengalaman peribadi dan pengalaman orang lain yang pernah singgah dalam kehidupan saya.

Poligami adalah suatu syariat. Hukumnya harus jika dilakukan. Ianya sunnah Rasulullah ﷺ yang tidak boleh disangkal dengan logik akal. Bahkan ianya juga ada disebutkan dalam al-Quran melalui surah an-Nisa.

Justeru, bagi yang antipoligami, boleh jatuh haram jika tidak ‘beriman’ dan menolak 100 peratus sunnah poligami ini.

Tetapi soalnya, adakah hukum itu terlalu ‘rigid’ sehingga wanita tidak dapat mengelak daripadanya? Jika ya, untunglah lelaki muslim dalam dunia ini.

Sebenarnya, Islam ini amat mudah. Berkenaan hukum poligami, wanita tidak perlu terlalu risau dan bimbang. Segala hukum hakam yang Allah tetapkan pasti ada hikmah dan adil buat kedua-dua pihak. Bukankah Allah itu Maha Adil?

Saya ingin memetik satu ayat poligami yang dirakamkan oleh Allah ﷻ di dalam surah an-Nisa ayat 3, yang bermaksud:

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Berdasarkan ayat ini, boleh saya katakan, ia sewajarnya sebagai penenang hati buat wanita, bukan penyebab kegusaran. Ayat ini pada hakikatnya diturunkan untuk melindungi wanita ketika zaman selepas jahiliyah.

Jika dirujuk pada tafsir fizilalil Quran, Syed Qutb mengatakan bahawa ketika Islam masih pada peringkat awal penyebarannya, masyarakat Islam ketika itu masih terdapat karat-karat jahiliyah yang melekat dalam hati mereka.

Wanita masih lagi ditindas dan dihina. Lalu, Islam datang secara keseluruhannya tersebar dan menyelamatkan para wanita daripada kekejaman dan kezaliman keladak jahiliyah.

Tetapi di dalam memahami hakikat itu pada hari ini, adakah poligami masih lagi dianggap sebagai menyelamatkan wanita yang tertindas? Persoalan ini semakin menarik untuk dibahaskan dalam kerangka kehidupan moden kita zaman kini.

Saya ingin melontarkan beberapa perkara yang sering menjadi perbahasan wanita. Pertama, patutkah isu poligami ini dijadikan gurauan? Lebih spesifik dijadikan sebagai bahan gurauan kepada wanita yang masih belum berkahwin.

Dalam perbahasan yang pertama ini, saya ingin terus menegur lelaki yang bergelar suami, bahkan mungkin bapa dan datuk kepada beberapa orang anak dan cucu. Gurauan untuk menjadikan wanita bujang sebagai isteri kedua atau ketiga atau keempat BUKAN sebuah gurauan yang melucukan.

Tetapi ianya amat menyakitkan dan memalukan. Bahkan mungkin menjatuhkan suatu fitnah yang lebih besar kepada wanita yang sepatutnya kalian lindungi sebagaimana yang saya sebutkan dalam ayat di atas.

Hal ini bukan persepsi. Tetapi ianya realiti yang berlaku. Lelaki harus faham, dalam kehidupan seharian seorang wanita, mereka akan berada dalam satu lingkungan tertentu yang menjadikan mereka tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan perkara ini.

Sebagai contoh sudah tentu, lingkungan pergaulan di tempat kerja. Jika dibuat kajian yang lebih terperinci, saya pasti amat ramai atau mungkin majoriti wanita yang belum berkahwin akan mengalami gangguan seksual secara verbal seperti ini.

Saya kira, apabila seorang lelaki (suami orang) menyebut perkataan “Awak nak tak jadi isteri kedua saya” adalah sebuah gangguan seksual yang membahayakan. Tetapi selama ini sehingga kini, ianya hanya dianggap sebagai gurauan bagi seorang lelaki (pernyataan ini dinafikan sebagai persetujuan atau keinginan oleh seorang wanita yang belum berkahwin).

Atau ada juga yang bergurau dengan tindakan, melihat wanita yang lebih muda, mereka tertawa dan tersenyum sesama mereka lalu menzahirkan perlakuan yang boleh dikatakan sebagai ‘cubaan memikat’, sedangkan mereka adalah suami orang. Hal ini amat buruk dan merosakkan institusi keluarga dan masyarakat.

Persoalan kedua, gurauan yang dibuat oleh rakan-rakan sekerja yang boleh menjatuhkan maruah seseorang wanita itu sendiri berkenaan ‘skandal’ dengan seorang lelaki yang telah menjadi suami orang.

Saya kira, gurauan seperti ini juga amat tidak wajar dan patut dielakkan. Tahukah anda, berapa banyak kes perceraian yang berlaku disebabkan skandal dengan rakan sekerja? Segalanya bermula daripada sebuah gurauan dan akhirnya menjadi realiti sehingga menyebabkan keruntuhan rumahtangga dan sebagainya.

Itu belum lagi dibahaskan berkenaan sikap ‘miang’ lelaki (suami orang) yang mahu berkenalan dengan mana-mana wanita di media sosial. Tempat yang paling mudah diakses tanpa diketahui oleh sesiapapun.

Di manakah sifat tanggungjawab dan kepimpinan seorang lelaki yang bergelar suami dan bapa? Wajarkah seorang lelaki yang telah berjabat akad melafazkan ta’liq dan sakinah, mencurangi isterinya di belakang? Hanya dengan alasan, “Aku boleh bernikah lebih daripada satu”?

Segala penyakit yang membarah ini berpunca daripada satu sebab sahaja, iaitu kebebasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita. Atau disebut ‘ikhtilat’. Betapa bahananya perkara ini boleh merosakkan pembinaan baitul muslim dan sesebuah masyarakat muslim.

Sebagai seorang muslim, kita perlu sentiasa berhati-hati dengan penjagaan pergaulan ini. Jika kita tidak mampu mengawal pergaulan orang lain terhadap kita, setidak-tidaknya kita menjaga pergaulan kita sesama mereka.

Kepada wanita bujang, saya akui dalam kalangan anda, ramai yang berasa takut, jika terlalu menjaga pergaulan, bagaimana aku akan mendapat jodoh? Persoalan ini terlalu sensitif jika difikirkan.

Namun, percayalah wahai wanita, yakin bahawa jodoh anda pasti tiba pada waktu yang tepat dengan orang yang tepat, jika tiada di dunia, di akhirat pasti bertemu jua.

Kepada lelaki yang telah berkahwin atau sesiapa saja yang sering bergurau mengenai perkara ini, tolonglah jaga sensitiviti wanita. Lebih-lebih lagi yang saya tekankan di sini adalah wanita bujang. Gurauan yang kalian sedang lakukan bukanlah perkara yang melucukan, tetapi ianya suatu fitnah dan perkara yang menyakitkan.

Bahkan juga menyakitkan hati isteri kalian jika mereka mengetahuinya. Jagalah keluarga kalian dengan sebaiknya kerana mereka dunia realiti kalian. Tanggungjawab dan amanah kalian amat besar kepada mereka.

Fokus pada yang ada, tinggalkan pada yang belum tentu ada. Itu lebih baik, jika kalian benar-benar beriman dengan ayat Allah ﷻ.

Wallahualam

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close