Berita UtamaUtama

Waran tangkap dikeluar selepas Hasanah gagal hadir mahkamah

Peguam mengaku silap tak maklum kepada tertuduh tarikh kes

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang berdepan tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, kerana tidak hadir ketika pengurusan kesnya hari ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin membuat permohonan supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah, 61, kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan.

“Tertuduh tidak hadir, beliau (sebelum ini) telah dilepaskan dengan jaminan dengan dua penjamin. Bagaimanapun tertuduh dan kedua-dua penjaminnya tidak hadir serta tiada apa-apa arahan dari mahkamah berhubung ketidakhadiran itu. Mohon waran tangkap dikeluarkan,” kata Mahadhir.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah dan memberitahu Hasanah tidak hadir kerana peguam itu gagal memaklumkan tertuduh berkenaan prosiding hari ini.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya sebagai peguam, saya harus memaklumkan anak guam saya untuk hadir tetapi saya gagal untuk memaklumkan. Saya berharap anak guam saya tidak menerima sebarang kesan atas tindakan saya,” kata peguam itu.

Hakim Sequerah kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah dan menetapkan 26 Jun bagi sebutan waran tangkap dan notis kepada penjamin.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media bahawa waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh dan kedua-dua penjaminnya hari ini.

Nur Aifaa pula memberitahu terdapat salah faham kerana pihaknya beranggapan tiada prosiding hari ini kerana tarikh perbicaraan kes itu yang akan bermula 3 Februari 2020 telah ditetapkan pada prosiding 17 April lepas.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close