Artikel KhasBerita Utama

Prinsip pemilihan calon wakil rakyat dalam pilihan raya

Pilih calon tiada sabitan skandal salahlaku, tidak memusuhi agenda agama Islam

BERSEMPENA kehadiran Pilihan Raya Negeri yang akan dijalankan pada Sabtu (12 Ogos 2023) ini, pihak Majlis Ulama ISMA (MUIS) ingin memberikan garis panduan pemilihan bagi wakil rakyat yang akan dilantik, bertepatan dengan kaedah syarak dan maslahah ummah di Malaysia.

DEMOGRAFI MALAYSIA MENUNTUT SATU FIQH YANG KHAS

Prinsip asal pemilihan pemimpin adalah ‘kelayakan dan amanah’ seperti yang disebut dalam surah Al-Qasas ayat 26 : “Sesungguhnya yang paling baik untuk engkau ambil sebagai pekerja adalah yang kuat dan beramanah’.

Namun prinsip ‘kuat dan amanah’ itu perlu diterjemahkan dengan lebih spesifik agar ia menepati kehendak syarak pada setiap negara yang berbeza keadaannya.

Melihat kepada latar belakang negara Malaysia yang memiliki identiti kenegaraan Islam dan kepemimpinan orang Melayu sebagai tonggaknya, kewarganaegaraan yang dianggotai oleh pelbagai agama & bangsa, dengan jumlah 60 peratus beragama Islam, dan bakinya beragama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain, dan sejarah Malaysia yang panjang serta tekanan antarabangsa yang menekan Malaysia dalam agenda ‘Pembaratan’ dalam budaya, pemikiran dan identiti, maka suatu ‘fiqh khas’ perlu diletakkan agar setiap pengundian yang membawa kepada pelantikan wakil rakyat yang mempelopori dasar dan menguasai pentadbiran negara berjalan bertepatan mengikut kehendak syariat dan maslahat ummah di Malaysia.

DASAR-DASAR INI ADALAH SUATU USUL PEMILIHAN YANG BERASASKAN KAEDAH SYARAK DAN MASLAHAT POLITIK ORANG MELAYU YANG KHAS DI NEGARA MALAYSIA

  1. Wajib Utamakan Perwakilan Muslim

Prinsip yang pertama adalah prinsip yang diterima oleh semua pihak. Ini adalah suatu cerapan kefahaman daripada segenap nas-nas Al-Quran yang melarang melantik non-Muslim sebagai pemimpin negara yang menentukan dasar dan polisi negara. Ini kerana hakikat sebuah negara Islam adalah terjemahan kepada pelaksanaan syariah dalam bersistem dan dalam bernegara.

Sepertimana individu itu dikira Muslim dengan mengucap kalimah syahadah, maka sesebuah negara adalah ‘gambaran individu Muslim’ yang diterjemahkan dalam bentuk sistem dan pemerintahan.

Kepimpinan Muslim yang diwakili orang Melayu di Malaysia ini memainkan peranan penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan Malaysia, bagi menetapkan polisi dan dasar yang menjamin paksi identiti negara di tempat yang sejahtera dan selamat.

  1. Utamakan Gabungan Yang Muslim Dominan

Prinsip ini terpakai apabila ciri-ciri pertama ada pada kesemua calon, maka dilihat pula apakah gabungan yang dianggotainya, samada gabungan itu didominasi oleh golongan Muslim, atau sebaliknya. Jika kesemua calon adalah muslim, maka gabungannya perlu dilihat dari sudut gerakerja, kekuatan wewenang politik (bargaining power) dan sejauhmana ia dianggotai oleh peratus Muslim yang lebih ramai dan lebih dominan.

  1. Pilih Calon Yang Berkemampuan, Tiada Sabitan Skandal Dan Salahlaku, Serta Sihat Tubuh Badan

Prinsip ini dilihat apabila kesemua calon adalah Muslim, dan kesemua koalisi & gabungannya juga adalah sama-rata atau tidak dilihat mana-mana lebih besar dominasinya, maka dilihat pula kepada sejarah dan latar belakang calon, sejauhmana ia lebih mampu berbanding calon-calon yang lain.

Tambahan lagi, calon tersebut tidak mempunyai isu kesihatan, umur yang terlalu tua, atau mempunyai masalah-masalah lain yang mengganggu prestasi dan perjalanan kerja seseorang wakil rakyat.

  1. Pilih Calon & Gabungan Yang Tidak Memusuhi Agenda Agama & Kebangsaan Secara Tersirat & Tersurat

Prinsip ini dilihat apabila melibatkan pengundian semua calon-calon yang non-Muslim, dan keupayaan mereka setara dalam pengurusan negara serta tiada salah laku yang pernah disabitkan, maka perlu dilihat dengan lebih halus latar belakang dirinya, parti yang dianggotainya serta koalisi yang disertainya, adakah ia pernah menerima sebarang dana daripada luar, atau sebarang latihan khusus daripada pihak antarabangsa, sebagai satu bentuk sokongan bagi menjatuhkan kerajaan sebelum ini, atau ia pernah mencetuskan sebarang kenyataan berbentuk provokasi dan mempunyai isyarat ingin mengubah identiti kenegaraan yang berpaksikan agama Islam dan orang Melayu, dan seumpamanya.

Wallahua’lam Bissawab

Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button