Berita UtamaUncategorizedUtama

Muhyiddin, PAS terima kunjungan bekas ketua Hamas

Hadi, Khaled bincang usaha kuatkan kesatuan ummah, bantu Palestin

BANGI, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, kunjungan itu diwakili bekas Ketua Hamas, Khaled Mishaal bersama lima delegasi.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Abu-Umar.

Pertemuan berkenaan dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Muhyiddin.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi akaun Twitter, turut memaklumkan menerima kunjungan Khaled dan delegasinya hari ini.

Dalam pertemuan itu, Abdul Hadi berkata, kedua-dua pihak ada berbincang untuk menguatkan lagi kesatuan ummah di peringkat antarabangsa dan langkah untuk membantu nasib saudara di Palestin.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Khaled sebelum ini bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Rabu lalu.

Dalam pertemuan bersama Dr Mahathir, Khaled berkata, pertemuan selama sejam itu membincangkan mengenai perjuangan dan keadaan semasa di Palestin.

Khaled yang ditemui wartawan selepas pertemuan itu berkata Hamas mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas layanan mesra yang diberikan terhadap kehadiran mereka, di samping menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap sokongannya yang berterusan kepada perjuangan Palestin bagi menamatkan pendudukan Israel di negara itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close