Berita UtamaUtama

MCA raih populariti murahan pertikai biasiswa pelajar Palestin

Dulu dalam BN sokong, bila tak ada kuasa dalam kerajaan persoal pula

BANGI, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – “MCA jangan cuba meraih populariti murahan dengan mempersoal isu bantuan kepada rakyat Palestin, kononnya peka peluang pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera mendapat pendidikan.”

Demikian bidas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid terhadap pemimpin parti perkauman yang membantah kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) di 12 universiti ternama di Malaysia.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, kerajaan PH hanya tahu meminta sokongan kaum Cina dan membayar cukai, tetapi atas dasar pendidikan, kaum itu terasa dipinggirkan.

“Contohnya pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin. Pelajar bukan Bumiputera pula tertekan di bawah pemerintahan PH.

“PH sentiasa mengeluh negara dibebani hutang yang banyak dan negara bakal bankrap, tetapi kini ada pula wang untuk memberi biasiswa kepada pelajar Palestin,” kata Chee Hiong.

Menyelar kenyataan itu, Azmi berkata, jelas MCA bersandiwara mengambil cakna soal peluang pendidikan kepada pelajar Bumiputera apabila ketika turut berkuasa dalam BN tidak pula mempersoalkan bantuan Malaysia kepada Palestin.

“MCA bersikap hipokrit, ketika dalam BN menyokong dasar kerajaan terhadap polisi membantu Palestin, tetapi bila tidak mempunyai tempat dalam kerajaan, mempersoalkan pula dasar membantu Palestin.

“Apakah pelajar tempatan tidak dapat berbanding pelarian Palestin? Pelajar Palestin dinafi hampir semua hak manusia oleh regim Zionis Israel, kini terpaksa menjadi pelarian di seluruh dunia.

“Padahal jika diberi peluang mereka jauh lebih berupaya menyumbang kepada kemajuan negara Palestin dan dunia. Kenapa MCA persoal pengorbanan kerajaan dan rakyat Malaysia membantu dan memberi peluang pendidikan kepada pelajar Palestin?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Azmi menegaskan, sepatutnya kita berbangga dengan biasiswa yang disalurkan oleh kerajaan kepada pelajar Palestin hasil wang cukai yang dibayar daripada awam, bagi membela nasib Palestin dalam jangka masa panjang.

“Ketika simpati dan rasa empati kepada nasib Palestin diluahkan oleh rakyat Malaysia, sikap wakil MCA ini sangat dikesali. Soalnya sejak bila negara ini tidak mengambil berat nasib semua kaum, seperti yang ditimbulkan.

“Dia mendakwa kaum Cina yang membayar cukai dipinggirkan dalam pendidikan. Setelah sekian lama kerajaan BN mahupun PH menyokong dan membela nasib Palestin yang telah sengsara lebih 70 tahun, kenapa tiba-tiba pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin dipertikai.

“Mana bukti pelajar bukan Bumiputera tertekan di bawah pemerintahan sekarang bila sedikit peluang memperolehi biasiswa diberi kepada pelajar Palestin?” soal beliau lagi.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin bagi menyambung pengajian di 12 universiti terkemuka di Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar terpilih melalui Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close