Berita Utama

PRN Melaka: Majlis rasmi kerajaan, swasta tidak dibenarkan dari 4 hingga 27 November

Semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial termasuk pelancaran jentera juga tidak dibenar

MELAKA, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di negeri ini sejak dari 4 Nov hingga 27 Nov depan.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini semalam memaklumkan selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan sejak 25 Okt hingga 27 Nov ini.

Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button