Berita UtamaUtama

Lupakan ‘Malaysian Malaysia’, kata Khaled kepada DAP

Bangsa Malaysia mustahil untuk direalisasi, sekadar retorik politik

BANGI, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan supaya DAP melupakan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi ideologi parti itu selama ini.

Realitinya, tiada bangsa Malaysia boleh terbentuk di tanah air ini, kerana Malaysia adalah negara ‘multicultural’ dan akan kekal sebagai negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama dengan bangsa Melayu serta Islam sebagai teras.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bertajuk ‘Perpaduan jadi titik pertemuan Malaysia Baharu’, yang menyatakan bahawa konsep bangsa Malaysia perlu digiatkan oleh pihak media, terutama bagi mewujudkan sebuah ‘Naratif Malaysia’ yang baharu.

Khaled berkata, pemimpin DAP itu gagal untuk memberi takrifan bagaimana bangsa Malaysia itu harus dimaknakan, apa lagi bagaimana ia harus dilaksanakan.

“Untuk merealisasikan konsep bangsa Malaysia adalah amat mustahil sekali. Ia adalah retorik politik yang sedap diungkap untuk menjadi halwa telinga.

“Namun karakter Malaysia, seawal terbentuknya negara ini, ialah kemajmukan berbangsa, berbudaya dan beragama. Ini kerana setiap daripada warganegara Malaysia dibezakan dengan agama, bangsa, pengalaman politik serta bahasa yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, bekas Menteri Besar Johor itu turut mengesyorkan supaya ‘Naratif Malaysia’ yang baharu yang ‘digembar-gemburkan’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu.

Katanya, ia adalah hasil resolusi daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang mana resolusi itu adalah zahir kepada realiti politik dan sosial negara sebagai asas yang harus diakui oleh semua.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inti pati resolusi itu adalah kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini; unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima; dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

Seperkara lagi yang mesti diutamakan dalam membangun ‘Naratif Malaysia’ ini ialah melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan beradab.

Tanpa warganegara yang bertanggungjawab, patriotik, rasional, berbudi dan matang, amat sukar bagi Malaysia melangkah ke hadapan dalam dampak globalisasi yang kian mencabar kini, katanya.

“Telah sampai masanya kita memperincikan atribut ‘good Malaysian citizenry’ daripada membicarakan ideal bangsa Malaysia yang kompleks dan mustahil untuk dizahirkan apatah lagi semenjak PH memerintah, kesepaduan negara ini menjadi semakin rapuh.

“Lihat sahaja bagaimana Sabah dan Sarawak sudah menjadi semakin menjauh dengan retorik kenegerian yang semakin ekstrem dan menebal. Dalam landskap patriotisme Malaysia yang semakin mencabar, kemunculan retorik kenegerian yang semakin menebal, kita tidak langsung melihat respon kerajaan PH untuk menanganinya.

“Apa akan dibiarkan sahaja pihak-pihak tertentu meneruskan nyalaan sentimen ‘Sarawak Merdeka’ atau ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan sebagainya tanpa ada usaha konkrit untuk memadamkannya,” kata Khaled.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close