Berita UtamaUtama

‘Kit Siang penipu bersiri’

Ini debat dua Ahli Parlimen, tiada kena mengena isu perkauman

BANGI, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – Datuk Seri Najib Razak mengakui bersedia menyahut cabaran veteran parti tamak haloba DAP, Lim Kit Siang untuk berdebat mengenai isu kleptokrasi.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri kecewa apabila Kit Siang bertindak sebaliknya, apabila menggunakan sentimen perkauman – kononnya Melayu lawan Cina – untuk mengelak daripada debat itu.

“Ini debat, bukan gusti. Kenapa nak lari? Kenapa DAP sering main isu perkauman? Adakah ini satu pengakuan dari Kit Siang bahawa DAP adalah parti Cina?

“Ini debat antara dua Ahli Parlimen. Tak ada kena-mengena dengan isu perkauman. Jika ikut logik Kit Siang, tidakkah ianya juga isu perkauman apabila dia mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari untuk menyerang saya?,” soalnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sambil menyindir, Najib berkata, Kit Siang sepatutnya mengaku bahawa sebab utama dia menolak untuk berdebat adalah kerana tidak mampu untuk menjawab fakta yang akan didedahkan, sekali gus membongkarkan pembohongan pemimpin DAP dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan tanya, adakah Kit Siang mengaku bahawa wang yang disebut RM2.6 bilion itu sudah pun dipulangkan selepas empat bulan berikutan PRU13. Ianya tidak disimpan oleh saya, dan sudah didedahkan dalam mahkamah bulan lepas.

“Saya akan tanya, adakah Kit Siang mengaku bahawa terdapat banyak bayaran kepada saya adalah dari Kementerian Kewangan Arab Saudi sedangkan ianya juga sudah didedahkan dalam mahkamah bulan lepas,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau juga mahu bertanya kepada Kit Siang berhubung perjanjian penyelesaian IPIC dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan tindakan PH tidak meneruskan perjanjian itu.

“Saya akan tanya kenapa skandal forex BNM RM33.2 bilion (bernilai RM100 bilion dalam nilai wang hari ini) tidak membankrapkan negara walaupun satu aset atau satu ringgit tidak dapat dipulangkan tetapi pinjaman RM31 bilion 1MDB pula boleh membankrapkan negara walaupun 1MDB ada perjanjian penyelesaian, ada aset-aset bernilai RM140 bilion dan RM40 bilion yang kini digelar oleh PH sebagai aset terbaik negara.

“Saya juga akan tanya jika Tony Pua telah berbohong bahawa kos projek ECRL hanya RM29 bilion sedangkan PH telah bersetuju dengan harga RM44 bilion. Itupun selepas jajaran telah ditukar, jumlah jarak dan stesen telah dikurangkan untuk banyak mengurangkan kos sehingga ECRL tidak lagi sampai ke Kuala Lumpur,” katanya.

Najib berkata, banyak lagi isu-isu lain yang beliau ingin tanyakan kepada Kit Siang dalam perdebatan itu, dan menunggu dia menjawab segala persoalan berkenaan.

“Tapi dia sudah lari. Bagaimanapun, saya tidak akan menggelar Kit Siang sebagai pengecut, saya hanya akan menggelar beliau sebagai seorang penipu bersiri dan yang tak jujur.

“Lagi satu, selepas Kit Siang lari diri seperti ini, dia tidak ada hak lagi untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk menyerang saya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close