Berita UtamaUtama

BSH fasa kedua dibayar 28 Mei

Tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos

BANGI, 19 Ramadan 1440H, Jumaat – Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa kedua akan dilaksanakan mulai 28 Mei (Selasa) berdasarkan kategori merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai yang akan diterima, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pembayaran fasa kedua itu akan membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 bilion.

Beliau berkata, kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima bantuan berkenaan berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujjuan dan akaun pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019,” katanya.

Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang benar-benar layak mengikut kategori pendapatan yang telah ditetapkan, katanya.

Guan Eng berkata, setiap tahun, kementeriannya melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuat semakan permohonan BSH, termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan oleh pemohon tepat dan layak sebagai penerima.

“Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos 2019.

“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDNM.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close