Berita UtamaUtama

Pelajar pekak, bisu sebak lafaz taklif guna bahasa isyarat

Ambil masa lama baca al-Quran, huruf dibaca satu persatu

JOHOR BAHRU, 18 Ramadan 1440H, Khamis -Nurul Husna Ibrahim serta beberapa rakan lain tidak dapat menahan sebak sebaik selesai membaca lafaz penyerahan tanggungjawab (taklif) bersama Guru Besar sekolahnya, Norhafizah Suhaimi, pada satu majlis di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini.

Pelajar berusia 19 tahun itu adalah seorang daripada pelajar pekak dan bisu di Sekolah Agama Pendidikan Khas (SAPK) Johor Bahru, yang turut bersama empat lagi rakannya, membacakan lafaz taklif menggunakan bahasa isyarat.

Norhafizah, selaku wakil ibu bapa mereka, juga membacakan lafaz taklif menerusi bahasa isyarat pada Program Penyerahan Taklif, Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Perdana anjuran Pejabat Pendidikan Islam Daerah itu, petang semalam.

Menurut Norhafizah, Nurul Husna telah kehilangan ibunya akibat barah rahim pada tahun 2014 ketika pelajar itu berusia 14 tahun.

“Semenjak kematian ibunya, Nurul Husna telah diamanahkan kepada kami iaitu tenaga pengajar di SAPK untuk dibesarkan,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi taklif tersebut.

Norhafizah berkata, dia percaya didikan awal daripada ibu bapa amat mempengaruhi peribadi seseorang anak apabila mereka dewasa.

“Nurul Husna sejak kecil telah dididik oleh ibunya untuk menjaga solat, menghormati orang tua serta menutup aurat dan sehingga hembusan nafas terakhir ibunya, Husna masih mengamalkan setiap ajaran ibunya itu,” katanya.

Tambah beliau, anak bongsu daripada lima adik beradik itu pernah dilihat sendirian menguruskan arwah ibunya yang sedang sakit di rumah mereka.

“Saya sendiri tengok Nurul Husna mandikan ibunya, sikat rambutnya dan dia juga yang uruskan makan minum ibunya ketika arwah sedang sakit dulu,” kata guru besar sekolah tersebut.

Selepas Nurul Husna tinggal bersamanya di asrama SAPK, dia telah mengajar gadis itu membaca Al Quran.

Katanya, anak-anak istimewa seperti Nurul Husna mengambil masa lama untuk membaca al-Quran dengan menggunakan bahasa isyarat kerana setiap huruf perlu dibaca satu persatu dengan menggunakan isyarat tangan.

“Di SAPK, kita ada sembilan orang tenaga pengajar yang mahir menggunakan kaedah fakih dalam usaha memastikan murid-murid kelainan upaya ini juga mampu membaca Al Quran,” katanya.

Dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar istimewa ini, tenaga pengajar perlu memiliki sifat sabar yang tinggi dan istiqamah untuk mengulangi sesuatu ilmu yang disampaikan setiap hari, agar ilmu tersebut melekat pada anak-anak istimewa itu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Ummi di sekolah itu berkata, silibus yang ditetapkan oleh kurikulum pendidikan sekolah agama kerajaan negeri Johor juga terpaksa direndahkan agar anak-anak ini menguasai sepenuhnya asas Fardhu Ain dalam Islam.

SAPK Johor Bahru kini mempunyai seramai 67 orang pelajar dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat lantaran ramai ibu bapa yang kian sedar akan pentingnya pendidikan agama kepada annak-anak kelainan upaya.

Norhafizah juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi peluang dan ruang kepada anak-anak kelainan upaya untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close