Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Kekacauan di Jakarta: Kematian meningkat kepada lapan orang

Ribuan anggota tentera dan polis ditempatkan di ibu kota Indonesia

JAKARTA, 18 Ramadan 1440H, Khamis – Jumlah kematian akibat rusuhan dan kekacauan di ibu kota Indonesia yang masuk hari kedua, meningkat kepada lapan orang, sementara lebih 700 lagi cedera, lapor media tempatan, hari ini.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mendedahkan jumlah baharu kematian dan kecederaan itu ketika melawat beberapa pusat kesihatan, selepas kekacauan semakin berkurangan.

“Jumlah terbaharu kematian ialah lapan. Sehingga jam, 11 pagi ini, 737 orang mendapatkan rawatan di hospital di kawaan ini,” katanya sambil menambah bahawa 79 individu cedera parah, dan kebanyakan yang cedera berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, kumpulan terbesar menerima rawatan iaitu 294 individu berusia antara 20 hingga 29 tahun, diikuti 170 individu di bawah usia 19 tahun.

Beliau enggan mendedahkan punca kematian kerana masih dalam siasatan polis.

Lewat semalam, jurucakap polis, Senior Komander Argo Yuwono berkata, empat yang terbunuh itu disebabkan kecederaan akibat ditikam.

Polis masih menyiasat punca kematian individu lain dalam tiga rusuhan di sekitar Jakarta Pusat dan Jakarta Timur.

Sementara itu, puluhan ribu anggota polis dan tentera ditempatkan di semua jalan di seluruh ibu kota ini, selepas kekacauan semakin berkurangan.

Sejak awal pagi semalam, rusuhan tercetus di beberapa kawasan tumpuan ramai, terutama di Tanah Abang, susulan rasa tidak puas hati penyokong bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, 67 tahun, yang tewas kepada Joko Widodo @ Jokowi pada Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2019, 17 April lalu.

Kelmarin, Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan Jokowi memenangi Pilpres untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

KPU membuat pengumuman itu sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai jam 11.30 malam, Isnin.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperoleh 85,607,362 undi, manakala Prabowo, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperoleh 68,650,239 undi.

Selepas keputusan itu diumumkan, penyokong Probowo yang sebelum ini menuduh berlaku penipuan Pilpres di seluruh negara, mula berarak di jalan raya sekitar Jakarta, dengan menyerang dan membakar kenderaan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close