Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

VIDEO | Kekacauan di Jakarta

Presiden Jokowi beri amaran tiada tolak ansur terhadap pengacau

JAKARTA, 17 Ramadan 1440H, Rabu – Presiden Indonesia, Joko Widodo @ Jokowi memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mengganggu keselamatan dan demokrasi – beberapa jam selepas rusuhan tercetus di tengah pusat kota raya ini.

Sehingga kini, enam penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh dalam kejadian terburuk sejak kali terakhir tercetus pada 1998 lalu, apabila kumpulan pelajar berkumpul menuntut presiden Soeharto meletak jawatan, sehingga membawa kepada rusuhan yang mengorbankan ribuan orang.

Rusuhan di beberapa kawasan tumpuan ramai, terutama di Tanah Abang, tercetus susulan rasa tidak puas hati penyokong bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, 67 tahun, yang tewas kepada Jokowi pada Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2019, 17 April lalu.


Semalam, Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan Jokowi memenangi Pilpres untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

KPU membuat pengumuman itu sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai jam 11.30 malam, Isnin.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperoleh 85,607,362 undi, manakala Prabowo, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperoleh 68,650,239 undi.

Selepas keputusan itu diumumkan, penyokong Probowo yang sebelum ini menuduh berlaku penipuan Pilpres di seluruh negara, mula berarak di jalan raya sekitar Jakarta, dengan menyerang dan membakar kenderaan.

Jokowi berkata, pentadbirannya tidak akan tunduk kepada penunjuk perasaan dan pihak berkuasa akan mengambil beberapa tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk sama-sama membangunkan negara ini, tetapi saya tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang mengganggu keselamatan, proses demokrasi dan perpaduan di negara ini.

“Tidak ada pilihan lain. Tentera dan polis akan melaksanakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya di Istana Merdeka di sini, hari ini.


Sementara itu, Prabowo meminta penyokongnya tidak melakukan kekerasan fizikal ketika mengadakan tunjuk perasaan, namun beliau turut mengingatkan tentera dan polis supaya tidak bertindak agresif.

“Saya tegaskan kepada semua yang masih mau mendengar saya, pendukung saya, sekali saya tegaskan hindari kekerasan fisik berlakulah sopan santun. Hormatilah pejabat pejabat penegak hukum dan jangan sekali-kali menggunakan kekerasan,” katanya hari ini.

Polis Indonesia mengesahkan enam terbunuh ketika rusuhan yang bermula awal pagi tadi, dan mereka sedang menjalankan siasatan.

“Ini perlu diperbetulkan. Kami tidak mahu orang ramai membuat spekulasi kerana ada pihak yang cuba meyakinkan orang ramai untuk menyalahkan pasukan keselamatan dan menghasut kemarahan,” kata Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian.

Polis percaya tunjuk perasaan itu dirancang lebih awal, dan mengesahkan kebanyakan individu yang melakukan provokasi dan ditangkap datang dari luar Jakarta.


“Kami telah menangkap 58 individu yang disyaki sebagai penghasut dalam rusuhan itu. Terdapat petunjuk bahawa penunjuk perasaan datang dari luar Jakarta,” kata jurucakap polis, Insp Jeneral M Iqbal.

Katanya, tunjuk perasaan aman diadakan lebih awal di hadapan Ibu Pejabat Agensi Penyelia Pilihan Raya (Bawaslu) dan pesertanya bekerjasama dengan polis.

“Penunjuk perasaan di Bawaslu, malah meminta kebenaran untuk berbuka puasa dan mengadakan solat Tarawih, walaupun undang-undang mengatakan mereka mesti mengakhiri protes itu pada jam 6.30 petang, tetapi dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, media sosial di beberapa kawasan sekitar Jakarta disekat bagi mengelak penyebaran berita palsu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close