Berita UtamaUtama

Subjek kenali agama lain boleh hura-hara sistem pendidikan

Kerajaan perlu perbanyak program galakkan integrasi antara SK, SJK

BANGI, 17 Ramadan 1440H, Rabu – Cadangan mewujudkan subjek khusus untuk mengenali agama lain di peringkat sekolah dan universiti adalah tidak realistik, malah tidak mampu menyelesaikan isu keharmonian dihadapi ketika ini, tegas Timbalan Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Asmadi Abdul Samad.

Beliau yakin sekiranya cadangan berkenaan dilaksanakan, ia akan memburukkan lagi keadaan dan hubungan antara kaum di negara ini.

“Apa yang berlaku hari ini dalam konteks hubungan sosial antara kaum di Malaysia adalah hasil daripada sistem pendidikan yang terpecah kepada kaum dan kurangnya hubungan secara langsung. Apakah ini yang mahu kita wariskan kepada generasi masa depan?

“Dengan sistem pendidikan yang dipecahkan mengikut kaum, adalah suatu perkara yang amat mustahil untuk wujud perpaduan di kalangan generasi masyarakat kita akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Presiden Majlis Belia Malaysia(MBM) Jufitri Joha agar kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti, bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Jufitri yang juga Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Mengulas perkara itu, Asmadi percaya dengan kemunculan subjek baharu itu ia akan memberi kesan yang tidak baik serta bakal menghuru-harakan lagi sistem pendidikan di sekolah.

“Daripada memperkenalkan mata pelajaran pelbagai agama di sekolah yang sememangnya sudah tidak bergaul antara kaum, lebih baik kita mewujudkan platform yang luas dan pelbagai supaya anak-anak kita dapat belajar sikap hormat-menghormati dan bertoleransi dalam suasana yang sebenar.

“Ini perlu bagi mengembalikan semula semangat perpaduan dan integrasi nasional yang sudah semakin hilang.

“Bagaimana keharmonian dalam negara dapat dibentuk jika platform untuk bergaul tidak wujud,” katanya sambil mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memperbanyakkan program yang menggalakkan integrasi antara Sekolah Kebangsaan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close