Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

Enam maut rusuhan di Jakarta

Ribuan berarak bantah keputusan pilihan raya dimenangi Jokowi

JAKARTA, 17 Ramadan 1440H, Rabu – Polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan, selepas penyokong calon presiden yang tewas, Prabowo Subianto, mula membakar bangunan, kenderaan, serta membaling pasukan keselamatan dengan batu.

Ribuan penunjuk perasaan dilapor berarak di sekitar Jakarta kerana membantah keputusan pilihan raya presiden 17 April lalu yang memberi kemenangan kepada penyandang, Joko Widodo (Jokowi).

Media tempatan memetik Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang melawat sebuah hospital sebagai berkata sehingga kini enam orang terbunuh dalam rusuhan itu, manakala lebih 200 lagi cedera.

“Setakat jam 9 pagi tadi, enam terbunuh, 200 cedera,” katanya dipetik media tempatan.

Bagaimanapun, Ketua Divisyen Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal, tidak mengesahkan perkara itu, sebaliknya berkata, polis masih menyiasat dakwaan itu.

“Demonstrasi di beberapa tempat sejak lewat malam tadi sehingga awal pagi tadi, bukanlah ‘demostrasi massa spontan’ tetapi dilakukan oleh sekelompok kira-kira 200 orang secara terancang bagi menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jakarta antara jam 11 malam tadi sehingga jam 5 pagi tadi, dengan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, ‘molotov coctail’ dan mercun ke arah pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

Polis masih menyiasat laporan bahawa seorang terbunuh dalam kekacauan itu, tetapi beliau menafikan polis menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

“Perusuh didapati bukan berasal dari Jakarta, tetapi dari luar Jakarta, dari Jawa Barat, dan terdapat sebuah ambulans ditahan yang tertera logo parti (tidak dinamakan), yang penuh dengan batu, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata, ada perusuh cedera tapi belum ada datanya,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 14 kenderaan juga dibakar perusuh dalam kejadian rusuhan pagi tadi, dan polis telah menangkap hampir 100 perusuh.

Sehingga tengah hari ini, keadaan di Jakarta masih terkawal dengan lebih 50,000 anggota polis dan tentera mengawal tempat-tempat strategik di Jakarta.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, meminta rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mengelak daripada berada di kawasan yang terjejas.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, diminta hubungi talian: +62215224947 /+6281380813036 (selepas waktu pejabat).

Rangkaian stesen televisyen Indonesia menunjukkan penunjuk perasaan membaling batu, ketika berdepan ratusan polis pencegah rusuhan di Jakarta Pusat.

Prabowo, bekas jeneral tentera yang dituduh melanggar hak asasi manusia sebelum ini mendakwa berlaku penipuan meluas dalam pilihan raya 17 April lalu, tetapi gagal membuktikan tuduhan itu.

Kumpulan peguam Prabowo dijangka akan membuat bantahan rasmi keputusan pilihan raya itu di Mahkamah Perlembagaan.

Dalam perkembangan terbaharu, Menteri Keamanan Indonesia, Wiranto berkata, sebahagian media sosial akan disekat bagi mengelak penularan berita palsu mengenai keganasan itu.

“Untuk mengelakkan provokasi, penyebaran berita palsu melalui komuniti, kami akan menghadkan akses kepada media sosial tertentu,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close