Berita UtamaUncategorizedUtama

Bumi Pahang ‘menangis’

Almarhum akan dimakamkan esok selepas solat Zohor

KUANTAN, 17 Ramadan 1440H, Rabu – Bumi Pahang seakan ‘menangis’ menyambut kepulangan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang mangkat di ibu negara hari ini.

Sejak petang tadi, cuaca mendung, sebelum gerimis membasahi ruang udara Pangkalan Udara Kuantan di sini, semasa pesawat khas yang membawa jenazah almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang mendarat pada 7.25 petang.

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah almarhum ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Turut kelihatan ialah bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Jenazah almarhum seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dekat sini dengan van jenazah pada 7.50 petang dengan diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fadh Mu’adzam Shah adalah anakanda bongsu almarhum, yang sebelum itu mengiring pergerakan jenazah dari Istana Negara dilihat turut menaiki van jenazah.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi, dan akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zohor esok.

Baginda adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close