Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Syiah Houthi dakwa musnahkan depot tentera Saudi di Najran

Dron pemusnah sasar lapangan terbang awam dan pangkalan tentera

DUBAI, 16 Ramadan 1440H, Selasa – Puak militan Syiah Houthi yang disokong Iran hari ini, menyerang lapangan terbang dan pangkalan tentera di Najran, Arab Saudi, menggunakan dron pemusnah diisi bom, tatkala ketegangan kekal tinggi antara Tehran dan Washington.

Riyadh mengesahkan serangan itu, tetapi tidak menyatakan sebarang kerosakan atau kehilangan nyawa. Najran terletak berhampiran sempadan Arab Saudi dan Yaman, kira-kira 840 kilometer di barat daya Riyadh, sering menjadi sasaran serangan puak Syiah Houthi.

Serangan itu dilakukan selepas Iran mengumumkan mereka memperkayakan uranium dengan meningkatkan pengeluarannya sehingga empat kali ganda, walaupun masih pada tahap jauh lebih rendah daripada yang diperlukan untuk pembuatan senjata nuklear.

Stesen televisyen satelit Houthi, Al-Masirah melaporkan, kumpulan militan menggunakan dron – Qasef-2K -menyasarkan lapangan terbang Najran dan depot senjata Arab Saudi.

Dron itu biasanya membawa bahan letupan dan akan diletupkan di atas kawasan sasaran. Ia pernah digunakan ketika serangan ke atas perbarisan tentera Yaman di wilayah Lahaj, Januari lalu.

Gambar rakaman daripada video menunjukkan dron Houthi diletupkan di udara ketika perbarisan tentera Yaman di wilayah Lahaj, Januari lalu, menyebabkan enam terbunuh. – Gambar AFP

Saudi Press Agency pula memetik jurucakap tentera, Kolonel Turki al-Maliki sebagai berkata, puak Houthi menyasarkan kawasan penduduk di Najran.

Al-Maliki memberi amaran terdapat ‘halangan kuat’ terhadap serangan itu dan menyifatkan Houthi sebagai ‘kumpulan pengganas Iran’.

Serangan sama Houthi sebelum ini, mencetuskan tindak balas pakatan tentera diketuai Arab Saudi dengan beberapa siri pengeboman di Yaman menyasarkan kedudukan kumpulan militan, tetapi turut menyebabkan kehilangan nyawa orang awam.

Semalam, Arab Saudi memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik Houthi di Taif yang menyasarkan Kota Suci Makkah dan Jeddah.

Lapangan terbang awam di seluruh Timur Tengah biasanya turut menempatkan pangkalan tentera negara masing-masing.

Tahun lalu, New York Times melaporkan penganalisis perisikan Amerika Syarikat (AS) turut ditempatkan di Najran, bagi membantu Arab Saudi serta komando Beret Hijau AS di kawasan sempadan.

Jurucakap Pusat Pemerintahan AS, Lt Kolonel Earl Brown berkata, tiada ada anggota tentera AS di Najran ketika serangan dron Houthi hari ini.

Minggu lalu, kumpulan militan Houthi menyerang saluran paip minyak Arab Saudi menggunakan dua dron, sementara empat kapal tangki di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula menjadi sasaran sabotaj. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close