Berita Utama

Isu beras: Negara tak harus bergantung import makanan ruji

Kerajaan wajar bangunkan dasar drastik, tingkatkan SSL ke paras 100 peratus

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 14 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Kerajaan Malaysia sebagai negara berdaulat wajar membangunkan dasar yang drastik untuk tidak lagi bergantung dengan import khususnya makanan ruji.

Atas sebab itu, negara perlu ‘berdikari’ mewujudkan polisi bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) bekalan beras kepada 100 peratus – yang kini hanya 62 peratus di tahap membimbangkan.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, masalah beras yang melanda ketika ini kerana Malaysia tidak memiliki polisi dasar dan keselamatan makanan yang ampuh.

India sebagai negara pengeluar beras menghentikan eksport kepada negara-negara luar termasuk Malaysia.

Ia ternyata memberi kesan kerana kita masih lagi bergantung harap – hampir 25 peratus bekalan beras diimport dari negara luar terutamanya dari Thailand dan India.

“Saya melihat isu ini isu yang sistemik. Tidak berkaitan dengan supply and demand pasaran dunia dan nasional. Tetapi apa yang berlaku apabila negara tidak memiliki polisi dasar dan keselamatan makanan yang ampuh.

“…Yang membolehkan kita berdikari, SSL kita sangat rendah. Hanya 62 peratus. Jumlah ini sangat kritikal. Kalau jatuh pada 60 peratus, bermakna kita berada di zon yang sangat bahaya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Justeru Lukman berpendapat, sebagai negara berdaulat, memiliki maruah bebas dan merdeka, Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada import terutama makanan ruji.

Misalnya beras ini ialah makanan ruji rakyat Malaysia, bagaimana kita boleh membenarkan kebergantungan kepada negara lain, soalnya.

“Maka langkah terbaik, negara menghasilkan 100 peratus barang makanan keperluan asas supaya kita tidak terkesan dengan apa yang berlaku termasuk kemelesetan ekonomi atau pergeseran geopolitik,” katanya.

Terdahulu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Menurut Bernas, faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button