Berita UtamaIstimewaUtama

‘Zahid berhenti lebih baik’

UMNO di bawah pimpinan Tok Mat Hasan semakin pulih

BANGI, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disaran meneruskan percutiannya atau meletak terus jawatan presiden UMNO, demi kebaikan parti di bawah kepemimpinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Saranan itu juga dibuat selepas UMNO dilihat kembali stabil dan mula mendapat keyakinan masyarakat, khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Mohamad, yang dilihat lebih diyakini dan bersih.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, sejak akhir-akhir ini wujud gerakan daripada penyokong Zahid untuk membawa kembali beliau menjalankan tugas presiden, yang kini diuruskan Mohamad.

Katanya, bunga-bunga ke arah itu turut dinyatakan Zahid menerusi artikel beliau dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

“Tindakan Zahid dan penyokong rapat beliau bukanlah sesuatu yang baik untuk UMNO bangkit dan bergerak ke hadapan.

“Telah mula ada tuduhan kononnya UMNO sekarang tiada hala tuju. Perlu diingat bahawa antara sebab berlaku desakan untuk Zahid bercuti adalah disebabkan oleh tiadanya hala tuju jelas ketika beliau menjadi presiden UMNO sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian ahli Parlimen dan ketua bahagian.

“Malah UMNO juga dijangka akan terus lemah jika beliau tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu.

“UMNO dilihat stabil dan mula mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Tok Mat Hassan yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Ahli Exco Pelajaran Johor itu mengakui tidak semua penyokong UMNO kini kembali menyokong parti ini kerana masih ada yang menganggap UMNO belum benar-benar berubah, kerana masih mendukung pemimpin yang dituduh dengan pelbagai salah guna kuasa dan rasuah.

Namun, katanya, bukan mudah juga untuk mewujudkan persepsi bahawa UMNO sebenarnya sudah berubah kerana sikap acah-acah Zahid yang tidak memberi keuntungan kepada UMNO.

“Memang benar Zahid dipilih secara demokrasi tetapi apa yang berlaku selepas pemilihan tidak membolehkan beliau terus menjadi pemimpin UMNO yang berkesan. Jika beliau dituduh dan didakwa sebelum pemilihan parti, belum tentu beliau boleh memenangi jawatan presiden.

“Bukan kita tak sayang Zahid mahupun Najib sebagai seorang yang banyak berjasa kepada UMNO tetapi kita lebih sayangkan parti kita yang perlu memenangi hati rakyat untuk menang kembali di masa akan datang.

“UMNO telah sedikit sebanyak berjaya menarik sokongan golongan B40 terutamanya masyarakat Melayu kerana merekalah golongan yang terkesan dengan masalah ekonomi seperti kejatuhan harga komoditi utama dan pengurangan subsidi serta bantuan kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa, Zahid melepaskan UMNO kepada pemimpin sedia ada dan tidak perlu lagi mengacah-acah untuk kembali.

“Jika selesai kes beliau dan beliau dibersihkan, tiada siapa yang boleh melarang beliau sekali lagi untuk menawarkan diri bertanding apa juga jawatan dalam parti. Berhentilah acah mengacah kerana ianya tidak baik untuk parti.,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close