Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Trump guna akta 2001 serang Iran tanpa kelulusan Kongres

Britain hantar pasukan khas tentera bantu Amerika berdepan Iran

WASHINGTON, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Pentadbiran Donald Trump boleh melancarkan serangan terhadap Iran, tanpa kelulusan Kongres, lapor media Amerika Syarikat (AS), sambil mendakwa Tehran membantu pengganas dan memberi ancaman kepada AS.

Sumber-sumber dipetik sebagai berkata, dalam keadaan ancaman itu, pentadbiran Trump boleh menggunakan undang-undang yang ada untuk membuat pertimbangan menyerang Iran tanpa kebenaran Kongres.

Trump beberapa kali menyatakan bahawa AS tidak mahu berperang dengan Iran, namun laporan menyebut kemungkinan serangan itu boleh berlaku.

Terbaharu, Trump dalam laman Twitternya memberi amaran kepada Tehran untuk tidak mengulangi ugutan terhadap Washington.

“Jika Iran mahu berperang, itu akan menjadi pengakhiran rasmi buat Iran. Jangan sekali-kali mengugut Amerika Syarikat lagi,” kata Trump.

Rancangan serangan ke atas Iran mendapat sokongan, terutama daripada Penasihat Keselamatan, John Bolton, dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo, lapor media AS.

Kongres bagaimanapun tidak akan memberi lampu hijau kepada Trump, jika tidak ada keperluan berbuat demikian. Kebanyakan anggota Demokrat, dan sesetengah ahli Republikan, enggan terbabit dengan satu lagi perang di Timur Tengah.

Dengan Kongres, dalam keadaan sekarang, mungkin tidak memberikan Trump kuasa untuk menyerang Iran, dan di tengah-tengah kempen maksimum menekan Iran, laporan media mendedahkan bahawa pentadbiran Trump menghantar isyarat jelas mereka akan menggunakan undang-undang 2001, bagi membolehkan penggunaan kuasa tentera jika diperlukan.

Undang-undang itu memberikan kuasa kepada presiden untuk menggunakan kekerasan menentang ‘negara, pertubuhan, atau individu yang merancang, membenarkan, terbabit atau membantu serangan pengganas pada 11 September 2001.

Sebelum ini, AS telah menyenaraikan beberapa pertubuhan Iran, termasuk Pengawal Revolusi Iran (IRGC), sebagai kumpulan pengganas, dan Trump serta pentadbirannya boleh menggunakan alasan itu untuk mempertimbangkan penggunaan kuasa tentera, tanpa kelulusan Kongres.

Sejak beberapa minggu lalu, pentadbiran Trump menuduh Iran membantu al-Qaeda dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang memberi ancaman kepada kedutaan AS di Baghdad, Iraq.

Keadaan itu sekali lagi memberi pertimbangan kepada White House untuk membolehkan mereka menyerang Iran, tanpa kelulusan Kongres.

Awal bulan ini, AS menghantar armada kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln ke rantau Teluk, sebagai tindak balas terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan dan ancaman Iran di kawasan itu.

Kelmarin, Washington juga mendapat kebenaran beberapa negara Teluk, termasuk Arab Saudi, untuk memperkukuhkan kedudukan tenteranya di rantau itu.

Pada masa sama, laporan tidak rasmi menyebut Britain menghantar pasukan tenteranya ke Teluk Parsi bagi membantu AS berdepan ancaman Iran.

Akhbar Sunday Express melaporkan, pasukan khas Britain telah menyertai AS di Teluk Parsi sebagai sebahagian daripada misi rahsia, khususnya bagi melindungi kapal yang menggunakan teluk itu.

Laporan menyebut bahawa pasukan khas turut ditempatkan di atas kapal tangki Britain yang melalui Selat Hormuz yang bersempadan dengan Iran. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close