Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

‘Pemilik iqama tak boleh miliki kediaman di Makkah, Madinah’

Arab Saudi kecuali levi, yuran baharu kepada pemegang iqama lama

JEDDAH, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Pihak berkuasa Arab Saudi tidak akan mengutip levi ekspatriat atau yuran tanggungan, yang dikenakan ke atas warga asing yang bekerja di sektor swasta di negara itu, untuk memiliki Iqama Keistimewaan Khas (visa kediaman) yang baru diumumkan.

Di bawah sistem baharu itu, pemegang iqama khas turut merangkumi ahli keluarga iaitu isteri dan anak perempuan atau lelaki, yang berusia kurang 21 tahun.

Iqama Keistimewaan Khas itu membolehkan pemiliknya bukan sahaja tinggal di Arab Saudi dengan keluarga masing-masing, tetapi juga layak memperoleh visa lawatan kepada keluarga yang lain, mengambil pembantu rumah mengikut keperluan, memiliki unit kediman, perniagaan dan industri di semua bandar di negara itu, kecuali di Makkah dan Madinah, serta kawasan sempadan.

Bagaimanapun, pemilik iqama itu tidak boleh memiliki, tetapi boleh melabur, dalam sektor hartanah di Makkah dan Madinah dalam tempoh sehingga 99 tahun.

Penggunaan unit hartanah itu terletak di bawah mekanisme yang akan dirumuskan oleh kementerian keadilan, perdagangan dan pelaburan.

Mengikut laporan media Arab Saudi, Iqama Keistimewaan Khas itu bagaimanapun, tidak melayakkan pemiliknya secara automatik menjadi rakyat Arab Saudi.

Pemilik iqama itu juga boleh memiliki kenderaan, bekerja di mana-mana syarikat, kecuali yang dikhususkan kepada rakyat Arab Saudi, dan bebas menukar pekerjaan. Keistimewaan ini juga turut membabitkan keluarga mereka, dan dalam semua sektor perdagangan.

Selasa lalu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan meluluskan pengeluaran Iqama Keistimewaan Khas seumur hidup dengan mengenakan bayaran SR800,000 (RM890,816), sementara iqama untuk setahun ialah SR100,000 (RM111,352).

Media Arab memetik sumber berkata, Kabinet Arab Saudi buat kali pertama pada Selasa lalu meluluskan undang-undang keistimewaan khas iqama yang membolehkan rakyat asing yang layak, untuk memperoleh permit penduduk tetap, tanpa sokongan warga tempatan.

Pemilik iqama itu juga boleh keluar dan masuk ke Arab Saudi secara bebas bila-bila masa yang mereka kehendaki, dan boleh menggunakan laluan imigresen di lapangan terbang yang dikhaskan kepada rakyat Arab Saudi sebelum ini.

Menerusi pembaharuan yang dilakukan kerajaan Arab Saudi, terdapat dua jenis iqama yang dikeluarkan iaitu seumur hidup, dan iqama yang diperbaharui setiap tahun.

Prasyarat untuk mendapatkan kad iqama itu antara lain mengkehendaki pemohon memiliki pasport yang sah, sumber kewangan yang mencukupi dan berumur tidak kurang daripada 21 tahun. Pemohon juga mestilah tidak memiliki rekod jenayah, selain menyediakan laporan perubatan yang mengesahkan mereka tidak mempunyai apa-apa penyakit berjangkit.

Mereka yang telah berada di Arab Saudi dan mahu memohon iqama itu perlu menunjukkan permit menduduki yang dikeluarkan sebelum ini.

Bagaimanapun, iqama itu boleh dibatalkan jika pemiliknya disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dihukum penjara melebihi 60 hari atau didenda SR100,000, atau dihalau atas arahan mahkamah.

Iqama itu juga boleh dibatalkan jika didapati data dan maklumat yang diberikan dalam borang permohonan, kemudiannya didapati tidak benar.

Pemilik iqama boleh secara sukarela melepaskan status keistimewaan itu jika mereka mahu berbuat demikian, atau meninggal dunia. – Media Arab

Saudi ‘jual’ iqama seumur hidup

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close