Berita UtamaUtama

Maszlee kena tegas, kekal jaga akidah umat Islam: Muafakat

Syor subjek kenali agama lain seolah-olah mahu liberalkan fikiran murid

BANGI, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik seharusnya mengambil sikap tegas dan kekal dengan kredibiliti prinsip yang benar dalam menjaga akidah umat Islam, kata Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Haji Rashidi Haris.

Kesal dengan penafian Maszlee yang kononnya menolak cadangan subjek mengenali agama lain, beliau berkata, menteri pendidikan perlu lebih peka dan kukuh mempertahankan dan menyelamatkan akidah umat Islam daripada disesatkan oleh pihak yang tidak senang dengan agama murni ini.

Haji Rashidi berkata, sikap tidak peka pihak berwajib dalam menangani dan meneliti bahayanya fahaman-fahaman sesat yang sedang cuba diterapkan dalam kalangan murid sekolah amat membimbangkan.

Katanya, ini terbukti seperti pernah dilaporkan dalam akhbar bagaimana mubaligh Kristian cuba mengedar risalah ‘kristianisasi’ kepada pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang sebelum ini.

“Oleh itu, Muafakat mendesak agar menteri pendidikan mengkaji sedalam-dalamnya kesan jangka pendek dan panjang serta kesan positif dan negatif jika subjek tambahan ini diteruskan supaya tidak beri kesan buruk kepada minda murid dan akibatnya Islam menjadi semakin jauh daripada minda masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Haji Rashidi menyifatkan, hasrat Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam sebagai tidak pratikal.

Ini kerana katanya, adalah mustahil pada usia yang masih muda, seorang murid itu berupaya membezakan antara yang hak dan batil.

“Tidak ada sebab dan keterdesakan apa pun sehingga perlunya kementerian menambahkan lagi beban pelajar dengan subjek mengenal agama lain. Melainkan tujuan cadangan itu seolah-olah mahu meliberalkan pemikiran murid di awal pendidikan di sekolah rendah.

“Jika diamati secara halus, cadangan itu seolah-olah seperti suatu usaha hendak menerapkan fahaman sesat pluralisme pada minda anak-anak murid sekolah rendah mahupun sekolah menengah yang keadaan mindanya pada masa itu masih bersih.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah terang-terangan menolak fahaman pluralisme ini dan Muafakat pernah menganjurkan wacana bertema; Pluralisme agama: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah pada tahun 2012. Dan ternyata kini, bahaya itu sudah semakin melebarkan sayapnya hari ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden MBM, Jufitri Joha dilaporkan berkata, cadangan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain.

Katanya, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close