Berita UtamaUtama

Kumpulan Pit Sym tumpas

Suspek berusia 28 tahun guna ‘Allen Key’ curi motosikal di Kedah

PENDANG, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Polis melumpuhkan kumpulan curi motosikal dikenali ‘Kumpulan Pit Sym’ yang aktif di negeri ini selepas menahan seorang anggota kumpulan itu di Kampung 15 Relong di sini, pada 13 Mei lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan kira-kira jam 10 pagi di rumahnya yang turut dijadikan tempat meleraikan komponen motosikal curi berdasarkan risikan dan maklumat awam.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebatang sungai di kampung itu dan menemui 24 rangka motosikal yang dibuang di dalam sungai… kita dapati daripada rangka motosikal itu ada antaranya dilaporkan hilang sejak 2011,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di sini, hari ini.

Antara jenis motosikal yang ditemui ialah Honda EX-5, Honda Wave, Yamaha dan SYM yang turut dilaporkan hilang di daerah ini, Kota Setar, Yan, dan Kuala Muda.

Tambah Zainuddin, soal siasat mendapati suspek bersama seorang lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas hanya menggunakan kunci ‘Allen Key’ untuk mencuri motosikal.

“Kenderaan itu kemudian dileraikan di rumah suspek dan setiap komponen itu dijual kepada pembeli yang dikenali hanya mengikut permintaan menerusi aplikasi WhatsApp atau media sosial lain,” katanya.

“Polis sedang memburu seorang lagi suspek berusia 20-an dan kemungkinan akan menahan pembeli kepada komponen motosikal curi ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang aktif melakukan jenayah samun kedai serbaneka di sekitar Kulim, pada 16 Mei lepas.

Katanya, suspek yang sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan ditahan kira-kira jam 1.00 tengah hari oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan di pekan Kulim.

“Suspek yang baharu berkahwin empat bulan lepas menggunakan modus operandi dengan masuk ke dalam kedai serbaneka 7 Eleven memakai topi keledar visor gelap sebelum mengacukan pisau kepada penjaga kaunter ketika ketiadaan pelanggan lain sebelum melarikan wang tunai,” katanya.

Suspek, yang berasal dari Pahang, juga penagih tegar mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah, cubaan samun dan samun dengan kawan menggunakan senjata di Kuantan, Pahang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close