Berita UtamaUtama

Empat lelaki ditahan ketika leka bungkus heroin, syabu

Suspek dipercayai cari 'duit raya' dengan jual dadah sekitar Pendang

ALOR SETAR, 15 Ramadan 1440H, Isnin – Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis heroin serta syabu seberat 31.35 gram bernilai lebih RM1,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Pendang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata, kesemua suspek berumur 34 hingga 46 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi ketika disyaki sedang leka melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah di rumah tersebut.

“Semasa serbuan, empat lelaki sedang duduk di atas lantai sebuah bilik dan pemeriksaan polis menemui sembilan peket heroin dengan anggaran berat 26.75 gram, lapan peket syabu seberat 4.60 gram, sebilah gunting besi, alat penimbang digital dan 10 peket plastik lutsinar kosong di atas lantai bilik tersebut.

“Kita percaya suspek ingin mencari ‘duit raya’ dengan menjual dadah secara kecil-kecilan kepada penagih sekitar daerah ini…mereka juga disyaki sedang menghisap dadah ketika serbuan dengan penemuan botol kaca yang telah diubah suai menjadi alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, semua suspek yang bekerja sendiri dan menganggur itu juga didapati positif dadah ketika ditahan dan semakan mendapati keempat-empat mereka memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close