Berita UtamaDuniaUtama

32 terbunuh rusuhan penjara

Militan Daesh bunuh tiga pengawal penjara dan lima banduan

DUSHANBE (TAJIKISTAN), 15 Ramadan 1440H, Isnin – Sekurang-kurangnya 32 terbunuh, termasuk tiga pengawal, apabila rusuhan tercetus di penjara kawalan maksimum di Vahdat, 10 kilometer dari sini, hari ini.

Rusuhan dimulakan oleh anggota Daesh yang bersenjatakan pisau, sebelum membunuh tiga pengawal dan lima banduan lain, kata Kementerian Keadilan Tajikistan.

Media melaporkan salah seorang daripada penghasut rusuhan itu ialah Bekhruz Gulmurod, anak kepada Gulmurod Khalimov – kolonel tentera Tajikistan yang berpaling tadah kepada Daesh pada 2015 tetapi dilaporkan terbunuh di Syria.

Bagaimanapun, nasib Bekhruz tidak diketahui.

Susulan rusuhan itu, pasukan keselamatan menembak mati 24 banduan, dan mengawal keadaan penjara yang menempatkan kira-kira 1,500 banduan, kata kementerian itu.

Dua daripada banduan yang terbunuh dikatakan ahli kanan sebuah parti politik Islam yang diharamkan Presiden Imomali Rakhmon, pada 2015 lalu. Seorang lagi adalah pendakwah terkenal Tajikistan, yang dipenjara kerana mengajak rakyat menggulingkan kerajaan.

November lalu, Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap satu lagi rusuhan di sebuah penjara di Tajikistan.

Kerajaan Tajikistan sebelum ini menawarkan pengampunan kepada rakyatnya yang meninggalkan kumpulan militan itu.

Ratusan rakyat Tajikistan sebelum ini dilaporkan menyertai kumpulan Daesh, dan berjuang di Syria serta Iraq. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close