Berita UtamaUtama

Wujud subjek kenali agama lain boleh terjebak pluralisme

Boleh masukkan elemen hormat agama lain dalam subjek Sivik: iGuru

Oleh  Fazleen Safina

BANGI, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Belum tiba masanya memperkenalkan subjek mengenali agama lain di peringkat sekolah rendah atau menengah, serta tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian, tegas Pengerusi Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Beliau berkata, cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) semalam agar kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, hanya akan memupuk sikap prejudis tinggi terhadap isu berlainan agama.

“Saya fikir kurang sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah kerana murid-murid belum memiliki kematangan berfikir dan menilai, malah dibimbangi membawa kepada fahaman pluralisme dan kesamarataan agama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Semalam, Presiden MBM, Jufitri Joha mendakwa subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Justeru, beliau mahu kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, pada peringkat sekolah dan universiti, bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Menyelar kenyataan itu, Ustaz Mohd Azizee berkata, usaha memupuk keharmonian kaum boleh dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk menjalankan aktiviti kokurikulum bersama merentas budaya dan bangsa antara Sekolah Kebangsaan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Paling penting kita sudah ada subjek Sivik dan Kewarganegaraan, kita boleh masukkan elemen mengenali dan menghormati anutan agama orang lain yang bukan bersifat doktrinisasi dan penyebaran agama.

“iGuru juga berpandangan subjek Pendidikan Islam boleh menerapkan intipati Fiqh Taayyush iaitu Fiqh (cara) bergaul dengan komuniti bukan Islam, menurut al-Quran dan as-Sunnah terutama diperingkat menengah atas,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close