Berita UtamaUtama

Tiga lelaki warga Myammar maut SUV terbabas

7 parah selepas kenderaan dinaiki langgar penghadang jalan

BAGAN SERAI, 14 Ramadan 1440H, Ahad — Tiga lelaki warga Myanmar maut, tujuh cedera parah dan empat cedera ringan apabila kenderaan jenis SUV yang dinaiki terbabas di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Simpang Empat Semanggol di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Supt Zakaria Abd Rahman berkata, dalam kejadian 7.34 pagi itu, kenderaan yang dinaiki semua mangsa daripada arah Alor Pongsu menuju ke selatan hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang warga Myanmar itu tidak mempunyai pengenalan diri dan pemandu kenderaan itu telah melarikan diri.

“Akibat kemalangan itu, tiga penumpang yang tercampak keluar dan terhumban ke bawah jambatan lebuh raya di Kampung Tebuk Panchor, Semanggol dan maut di tempat kejadian.

“Tujuh lagi penumpang mengalami cedera parah dan empat penumpang mengalami cedera ringan dihantar ke Hospital Taiping manakala tiga yang maut dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya telah menahan empat warga Myanmar yang mengalami cedera ringan di Hospital Taiping untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rozi Che Pa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.34 pagi, lalu bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera yang membabitkan 12 anggota.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati enam warga Myamnar tercampak keluar daripada atas jambatan ke bawah yang berketinggian 20 kaki.

Rozi berkata, kereta yang dinaiki 13 lelaki warga Myanmar dan seorang wanita berumur 20 hingga 40 tahun dalam perjalanan ke arah selatan apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang kiri di lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Izzat Basruddin, 27, berkata dia yang ketika itu berada di dalam rumah terkejut apabila ibunya Mesah Malik, 53, yang berada di luar rumah memanggilnya untuk melihat kemalangan kira-kira 20 meter dari rumahnya.

“Apabila saya keluar, saya mendapati tiga warga Myanmar sedang menggelupur dan mati beberapa minit kemudian manakala tiga lagi cedera parah sambil mengerang kesakitan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close