Pendapat

Relevensi matrikulasi dalam kestabilan pendidikan

Isu kuota matrikulasi tak patut dijadikan modal politik murahan

Realiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum menjadikan ia sebuah negara yang sangat mencabar untuk diurus. Kegagalan dalam mengurus kemajmukan ini akan membuatkan wujud rasa tidak puas hati dikalangan kaum yang merasakan hak mereka diabaikan atau dianaktirikan.

Pendidikan antara bidang teras yang menentukan kestabilan sosial dalam negara. Kerana dari pendidikan inilah akan lahirnya status sosial dan ekonomi kaum – kaum yang mendiami bumi bertuah ini.

Oleh sebab itu keseimbangan dalam pendidikan perlu dicapai demi mengukuhkan kestabilan di dalam negara. Keciciran terutama dalam bidang pendidikan merupakan bom jangka yang mampu menggugat keamanan dan kestabilan dalam negara.

Keciciran orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan di peringkat universiti suatu ketika dahulu terutama apabila sistem pengambilan pelajar berdasarkan kuota kaum dihapuskan membuatkan satu initiatif baharu perlu di fikirkan untuk menyelesaikan isu keciciran di kalangan melayu dan bumiputera ini.

Ditambah pula dengan kedudukan majoriti kelompok Melayu dan Bumiputera di para B40 dalam aspek ekonomi menyukarkan mereka untuk mendapatkan akses pendidikan berterusan. Ini juga perkara yang harus turut diberi perhatian membuatkan kerajaan pada ketika itu mewujudkan program matrikulasi kira-kira 30 tahun yang lalu.

Sehingga kini nampaknya program matrikulasi ini telah berjaya menjadi sebuah program persediaan yang baik bagi orang Melayu dan Bumiputera sekaligus menyumbang ke arah keseimbangan sumber tenaga manusia dalam negara. Justeru ianya harus diteruskan untuk memastikan keseimbangan ini dapat dilestarikan.

Meskipun demikian bukanlah bermakna program matrikulasi ini menutup pintu atau peluang kepada kaum-kaum lain untuk masuk ke UA atau US. Ini dibuktikan dengan bilangan dan peratusan kaum-kaum lain yang mencecah 45-47% dari bilangan pelajar IPT di Malaysia.

Fungsi Matrikulasi juga akhirnya digunakan untuk mengatasi keciciran masyarakat India dalam pendidikan apabila turut memberi peluang kepada mereka dengan peruntukan kuota khas dalam pengambilan matrikulasi. Ini bagi mengatasi masalah keciciran kaum India yang hanya sekitar 3% ke 4% dari kalangan penuntut IPTA dan IPTS di seluruh negara.

Dengan dasar dan polisi yang sebegini akhirnya program matrikulasi ini berjaya menseimbangkan status pendidikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Ini sekaligus mencipta ruang dan peluang yang saksama untuk rakyat negara ini yang berbilang kaum.

Saya percaya demi kebaikan dan kemakmuran bersama mereka yang benar-benar cintakan tanah air, isu matrikulasi ini tidak seharusnya dijadikan bahan politik murahan bagi ahli politik meraih populariti.

Tindakan mempertikaikan relevensi program matrikulasi ke atas Bumiputera dan orang-orang Melayu hanya menunjukkan sifat tamak dan rakus kalian untuk membolot peluang tanpa mengambil kira kesannya kepada kestabilan negara. Bahkan ia juga turut menimbulkan persepsi buruk dan rasa tidak puas hati dikalangan orang-orang Melayu dan juga Bumiputera.

Jangan tamak membolot hasil hanya kerana kita boleh dan berani berbuat demikian. Ruang dan peluang yang wujud di tanah ini harus diurus dan diagih seadilnya agar kita mampu terus menikmati tanah air serta masyarakat yang rukun dan damai.

Asmadi Abdul Samad
Timbalan Ketua
Pemuda Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net
 
 

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close