Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Negara Teluk lulus permohonan AS perkukuh kedudukan tentera

Ketegangan terus memuncak antara Washington dan Tehran

JEDDAH, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) meluluskan permohonan Washington untuk mengukuhkan kedudukan tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Parsi (Teluk Arab).

Menurut laporan media antarabangsa semalam, AS merancang mengukuhkan kedudukan tenteranya di Teluk Parsi, dan beberapa negara Arab lain.

Arab Saudi adalah antara negara yang meluluskan permohonan Washington, lapor akhbar Al-Sharq Al-Awsat, yang memetik sumber diplomatik sebagai berkata.

Tujuan utama tindakan itu bertujuan membenarkan Washington dan negara Teluk bekerjasama untuk menghalang sebarang pencerobohan, atau ancaman ketenteraan daripada Iran, sama ada terhadap negara jiran atau kepentingan AS di rantau itu.

Ketegangan di rantau itu meningkat susulan serangan ke atas serangan paip minyak Arab Saudi, dan empat kapal pengangkut minyak di Teluk Parsi, beberapa hari lalu.

Al-Sharq Al-Awsat, akhbar Arab yang beribu pejabat di London turut memetik sumber sebagai berkata, beberapa negara Arab merancang mengadakan sidang tergempar di Makkah pada 10 hari terakhir Ramadan.

Negara yang dijangka mengambil bahagian adalah yang ‘bersatu di atas prinsip dan visi yang konsisten dengan pembangunan serantau dan antarabangsa’.

Umum mengetahui bahawa negara berkenaan, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Bahrain dan Kuwait.

Semalam, media melaporkan Agensi Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menasihatkan semua syarikat penerbangan komersial AS, supaya mengelak daripada terbang di ruang udara Teluk Parsi (Teluk Arab), tatkala ketegangan berterusan antara Amerika dan Iran.

Dalam amaran yang dikeluarkan Khamis lalu, FAA berkata, pesawat komersial Amerika boleh berdepan salah ‘pengenalpastian’ jika memilih untuk terbang di rantau itu.

Nasihat FAA itu diedarkan lewat kelmarin oleh diplomat AS, dan dikeluarkan di tengah-tengah amaran oleh Lloyd’s of London – agensi kerajaan Britain yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan insurans – mengenai peningkatan risiko perkapalan dan maritim di wilayah berkenaan. – Agensi

Amaran FAA kepada pesawat: Elak terbang di rantau Teluk Parsi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close