Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Keselamatan rantau Teluk di atas garis merah, kata Riyadh

Rejim Syiah Iran punca keadaan tidak stabil di Timur Tengah

RIYADH, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Arab Saudi berusaha untuk mengelak peperangan daripada tercetus di rantau Teluk, tetapi sentiasa bersedia menggunakan segala kekuatan untuk mempertahankan diri daripada sebarang ancaman.

Pada sidang media hari ini, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir menuduh Iran melakukan banyak jenayah, termasuk mewujudkan suasana tidak stabil di rantau itu, dan beliau menggesa masyarakat antarabangsa memainkan peranan menghentikan perbuatan Tehran.

“Keadaan keselamatan dan agama kita sekarang ini berada pada garis merah,” katanya.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, semalam dipetik agensi berita IRNA sebagai berkata, Tehran tidak mahu perang meletus, walaupun Komander Pengawal Revolusi Iran mendakwa negara itu sudah bersiap sedia berperang.

Amerika Syarikat (AS), semalam memohon kepada beberapa Negara Teluk untuk mengukuhkan kedudukan tenteranya di rantau itu, termasuk penempatan pesawat pengebom dan kapal pengangkut di Teluk Parsi (Teluk Arab), susulan ancaman daripada Iran.

Al-Jubeir berkata, rejim Syiah Iran boleh mengelak rantau itu berada dalam bahaya perang dengan mematuhi undang-undang dan perjanjian antarabangsa, berhenti daripada mencampuri urusan negara lain, berhenti menyokong kumpulan pengganas, dan serta-merta menghentikan program nuklearnya.

“Arab Saudi menekankan bahawa Riyadh sentiasa bersikap terbuka demi keamanan dan berusaha mencapainya, serta percaya penduduk di rantau itu, termasuk warga Iran, mempunyai hak untuk hidup dalam aman dan tenteram.

“Kami mahukan keamanan dan kestabilan supaya dapat memfokus kepada Wawasan 2030 yang bakal memberi manfaat kepada rakyat Arab Saudi,” katanya.

Arab Saudi dan sekutunya di Teluk, termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, sebelum ini menuduh Iran membiayai aktiviti proksinya, militan Syiah seperti Hezbollah di Lubnan, puak Houthi di Yaman, dan beberapa kumpulan di Iraq.

Puak Syiah Houthi sebelum ini melancarkan serangan peluru berpandu dan roket ke arah penempatan penduduk di Arab Saudi, sejak Riyadh dan sekutunya menyokong kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.

Minggu lalu, militan Houthi mengaku bertanggungjawab menyerang saluran minyak Arab Saudi menggunakan dua dron. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close