Berita UtamaIstimewaUtama

‘Bukan tak hormat agama lain, isunya tak amal agama sendiri’

Jufitri kena baca data kajian, bukan buat kenyataan cenderung politik

BANGI, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dinasihatkan belajar membaca data kajian sebelum membuat kenyataan berasaskan kecenderungan politik.

Demikian saranan Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman kepada Jufitri apabila mengesyorkan supaya kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti.

Membidas perkara itu, Ustaz Hazizi menegaskan, dalam isu ini yang menjadi masalah bukan pelajar Islam tidak menghormati agama lain, tetapi mereka tidak mengamalkan agamanya sendiri.

“Saya lampirkan sebahagian data sebagai contoh. Merujuk kepada hansard Parlimen, 80 peratus daripada umat Islam di Malaysia tidak menyempurnakan solat lima waktu.

“Justeru, bab pendidikan perlu perancangan berasaskan kajian, bukan persepsi yang diulang-ulang,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Hazizi mempersoalkan apakah fenomena tidak menghormati agama lain sehingga perlunya pelajar mengenali agama lain.

“Apakah terdapat hubung kait antara fenomena tidak hormat agama lain dengan ketiadaan subjek agama lain di sekolah? Atau adakah di sana faktor lain yang lebih besar berbanding subjek agama lain?” soal beliau.

Terdahulu, Jufitri mahukan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Katanya, cadangan itu tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain.

“Kita lihat idea ini dapat meningkatkan perpaduan antara masyarakat, terutamanya ketika mereka masih di bangku sekolah atau di universiti.

“Jika tidak melalui pengenalan subjek baharu, mungkin subjek kenali agama lain ini boleh dimasukkan dalam sukatan pelajaran sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan tidak setuju dengan cadangan berkenaan, dan menegaskan berkongsi kebudayaan sesuatu kaum adalah lebih sesuai berbanding mempelajari agama lain.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close