Berita UtamaUtama

Anwar setuju terus projek Hard Rock Cafe, Hard Rock Hotel PD

Kerajaan BN pernah tolak projek cafe, hotel demi kepentingan rakyat

PORT DICKSON, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Projek pembinaan Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel akan diteruskan dan pembinaannya dijangka akan bermula dalam tahun ini, kata Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, projek itu juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat termasuk dari segi peluang pekerjaan.

“Ia akan melalui proses dan perlu memenuhi syarat yang sama dengan projek hotel-hotel lain bagi memastikan kesejahteraan penduduk tempatan dipelihara.

“Hasil perbincangan dengan pihak pengusaha, mereka tidak menuntut syarat baharu dan bersetuju memenuhi setiap syarat ditetapkan.

“Sebelum ini penduduk setempat salah faham mengenai projek pembinaan Hard Rock Cafe dan hotel ini. Dengar sahaja nama Hard Rock Cafe dikatakan menjual arak secara limpah,” katanya.

Memetik laporan Bernama, Anwar berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri dan tiada masalah berkenaan projek ini untuk dibangunkan.

“Saya sendiri meneliti permohonan projek tersebut dan syarat yang ditetapkan malah ia turut membantu peluang pekerjaan dan juga kebersihan kawasan, sekali gus memberi faedah kepada penduduk tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu pihaknya berpuas hati dengan tindakan awal yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani masalah bangunan terbengkalai.

Katanya, masalah itu telah dibawa ke mesyuarat negeri sejak lima ke enam bulan yang lalu dan menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

Pembinaan Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel Port Dickson itu dirancang pembinaannya sejak 2006, tetapi ditanggung kerana tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Pada 2010, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjadi menteri besar Negeri Sembilan ketika itu berkata, kerajaan negeri terpaksa menolak cadangan pelabur asing untuk membuka Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel di Port Dickson, demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh menerima permohonan pelabur terbabit untuk mendapatkan hak eksklusif pantai awam di kawasan hotel dan kafe bertaraf antarabangsa itu.

Namun, ura-ura projek itu akan diteruskan muncul selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close