Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Amaran FAA kepada pesawat: Elak terbang di rantau Teluk Parsi

Peningkatan aktiviti ketenteraan susulan ketegangan antara AS dan Iran boleh menyebabkan pesawat komersial berdepan salah perhitungan

WASHINGTON, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Agensi Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menasihatkan semua syarikat penerbangan komersial AS, supaya mengelak daripada terbang di ruang udara Teluk Parsi (Teluk Arab), tatkala ketegangan berterusan antara Amerika dan Iran.

Dalam amaran yang dikeluarkan Khamis lalu, FAA berkata, pesawat komersial Amerika boleh berdepan salah ‘pengenalpastian’ jika memilih untuk terbang di rantau itu.

Nasihat FAA itu diedarkan lewat kelmarin oleh diplomat AS, dan dikeluarkan di tengah-tengah amaran oleh Lloyd’s of London – agensi kerajaan Britain yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan insurans – mengenai peningkatan risiko perkapalan dan maritim di wilayah berkenaan.

“Aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik yang semakin meningkat di rantau itu menunjukkan peningkatan risiko tidak sengaja kepada operasi penerbangan awam Amerika Syarikat kesan daripada potensi salah perhitungan atau salah pengenalpastian,” kata FAA dalam satu kenyataan.

Antara lain, FAA mengingatkan pesawat komersial supaya berhati-hati ketika melalui ruang udara Tehran, Baghdad, Kuwait, dan Bahrain.

FAA berkata, pesawat yang terbang di rantau itu boleh berdepan gangguan GPS dan komunikasi yang tidak disengajakan, dan ia boleh berlaku tanpa sebarang amaran.

Awal minggu ini, AS menarik keluar kakitangan diplomatik tidak penting daripada kedutaannya di Baghdad, dan Pejabat Konsulat di Erbil, Iraq, susulan serangan ke atas empat kapal tangki di Selat Hormuz – salah satu koridor strategi di mana ia menjadi laluan kapal yang membawa minyak – dan bersempadan dengan Iran.

Tehran bagaimanapun, menafikan terbabit dalam serangan itu.

Tentera Laut Iran melakukan rondaan di Selat Hormuz, bulan lalu. – Gambar AFP/Getty

Pegawai minyak Iraq turut mengesahkan Exxon Mobil sudah menarik keluar kakitangan warga asing daripada telaga minyaknya.

Jumaat lalu, Timbalan Komander Pengawal Revolusi Iran, Mohammad Saleh Jokar memberi amaran bahawa peluru berpandu Iran boleh mengenai kapal perang AS di Teluk Parsi.

Amaran Mohammad Salleh dibuat selepas Washington mengumumkan penghantaran peluru berpandu cruise dan kapal perang ke Teluk Parsi, sementara pesawat pengebom B-52 pula sudah tiba di pangkalan tentera AS di Qatar.

Perang mulut kedua-dua negara berterusan dengan Presiden Donald Trump pula berkata ia adalah sesuatu yang bagus bahawa Iran kini keliru dengan polisi AS. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close