Berita Utama

Suami tak berani berdepan isteri, sanggup kahwin guna scam poligami

Isteri tak benar berpoligami bimbang kesan perhubungan dalam rumah tangga

SHAH ALAM, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Permintaan pihak tertentu yang mengambil jalan mudah tanpa menghiraukan percanggahan dari aspek etika dan perundangan punca wujudnya kegiatan penipuan atau scam poligami.

Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi menyifatkan scam berkenaan sama seperti perniagaan yang mempunyai permintaan dan penawaran membabitkan pelbagai pihak.

“Sebenarnya isu scam poligami ini seperti bisnes. Ada permintaan dan ada pembekal.

“Macam mana benda ini berlaku? Kerana memang ada permintaan. Maknanya ada suami-suami tidak berani berhadapan dengan isteri, jadi mereka kahwin di luar menggunakan cara scam ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, sindiket scam poligami dikesan telah dikesan menyediakan jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, kebanyakan isteri tidak membenarkan suami berpoligami berikutan bimbang akan kesan perhubungan mereka dalam rumah tangga.

“Antara faktor kebimbangan isteri ialah dari segi kemampuan kewangan suami dan faktor pewarisan harta kerana isteri pertama bimbang harta terpaksa dibahagikan kepada isteri yang lain,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan pasangan suami isteri perlu menguasai silibus dalam kursus perkahwinan bagi memahami kepentingan isu ini dengan lebih mendalam.

Katanya, pendidikan awal dalam kursus berkenaan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, selain konsep berpoligami tidak disalah erti.

“Pasangan muda yang akan berkahwin kita sudah ajar siap-siap. Esok kalau dia terfikir untuk kahwin dua atau tiga, dia mestilah melakukannya dengan penuh tanggungjawab.

“Maknanya perlu dididik daripada awal. Sebenarnya poligami itu tidak salah, namun sikap suami itu sendiri yang menyebabkan konsep (poligami) tersebut tercalar,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button