Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

VIDEO | Pakatan Arab Saudi serang Sanaa, enam maut

Riyadh balas serangan dron Houthi ke atas paip minyak

SANAA (YAMAN), 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Sekurang-kurangnya enam, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh dalam serangan balas pakatan tentera diketuai Arab Saudi, ke atas kawasan penempatan kumpulan militan Houthi di sini, hari ini.

Pakatan tentera itu menyerang 11 daripada 19 kedudukan Syiah Houthi disokong Iran, susulan serangan dron oleh militan terbabit ke atas saluran paip minyak di Arab Saudi, dua hari lalu.

Stesen televisyen Al Arabiya memetik kenyataan pakatan tentera Arab Saudi menyatakan serangan itu menyasarkan ‘kemudahan Houthi bagi melancarkan tindakan agresif’.

Stesen televisyen Houthi, Masirah pula melaporkan enam orang awam, termasuk empat kanak-kanak terbunuh, sementara 52 lagi cedera, antaranya dua wanita Russia yang bekerja di sektor kesihatan.

Pengeboman selepas dua hari saluran minyak Arab Saudi diserang dilakukan jam 8 pagi tadi waktu tempatan, lapor media antarabangsa.

Wartawan Yaman, Nasser Arrabyee berkata, jumlah kematian dijangka meningkat.

Kawasan penempatan di tengah bandar itu menjadi sasaran pengeboman, menyebabkan banyak rumah yang runtuh, katanya.

Selasa lalu, militan Houthi mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas saluran paip minyak di barat daya Arab Saudi menggunakan dua dron, dengan mendakwa Riyadh melakukan jenayah di Yaman sejak Mac 2015.

Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman menuduh Iran mengarahkan dua dron menyerang dua paip minyak Aramco sebagai agenda memperluaskan pengaruhnya di Timur Tengah.

“Pengganas telah bertindak, mendapat arahan rejim Tehran, dan dilaksanakan oleh Houthi,” katanya.

Saluran paip menyalurkan lima juta tong minyak mentah sehari ditutup sementara. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close