Berita UtamaPendapat

Satu logo, calon wibawa syarat utama menang PRU15: Berjasa

Ketaksuban parti mesti diketepi dan politik matang diberi keutamaan

1) KETIDAKSTABILAN senario politik tanahair sekarang ini telah menyebabkan beberapa ahli politik dan penganalisis membuat ramalan yang Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan.

2) Dalam keadaan ini, parti pembangkang kena mengambil langkah segera membuat persediaan dan persediaan terbaik adalah dengan memastikan dalam PRU15, jika ini berlaku, pertandingan satu lawan satu dengan PH.

Ini memerlukan kesepakatan dan kerjasama yang padu dari semua parti, bukan sahaja antara PAS dan UMNO, tetapi semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

3) Dua syarat utama untuk menjatuhkan PH kali ini adalah dengan bertanding menggunakan satu logo dan juga mengetengahkan calon-calon berwibawa yang boleh membawa kepada kemenangan.

Syarat pertama tidak begitu sukar memandangkan ianya adalah isu teknikal tetapi syarat kedua mengenai calon memerlukan langkah yang drastik dan perancangan serta semangat kerjasama yang tingi.

4) Calon-calon mestilah dipilih dari mereka yang mempunyai rekod yang bersih, baik serta mempunyai kelayakan akademik, kompeten dan berwawasan. Di sinilah keberanian blok pembangkang untuk meletakkan calon-calon bukan sahaja dari kalangan parti utama, tetapi dari parti-parti lain serta tokoh-tokoh masyarakat dari NGO, pertubuhan, kakitangan kerajaan, ulama, golongan profesional dan lain-lain.

Calon-calon yang mempunyai rekod buruk serta tidak dipandang bersih oleh rakyat perlu memberi laluan kepada calon-calon yang wibawa serta kompeten ini terutama sekali calon dari orang muda.

5) Rakyat menanti dan saya yakin akan memilih calon-calon yang berwibawa dan kompeten untuk menerajui negara di bawah satu blok pembangkang yang kuat, pada masa akan datang bagi menggantikan kerajaan PH yang tidak mampu memerintah dan mentadbir negara.   

Sudah sampai masanya ketaksuban kepada parti diketepikan dan politik matang serta bersih diberi keutamaan dengan meletakkan calon-calon tersebut dalam PRU15 akan datang.

Dato’ Dr Ir Ts Badrulhisham Abdul Aziz
Presiden Berjasa

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close