Berita UtamaUncategorizedUtama

Perbicaraan kes SRC Najib 30 peratus selesai: TPP

Mahkamah dijangka dengar keterangan 40 lagi saksi pendakwaan

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta telah 30 peratus selesai.

Timbalan Pendawa Raya, Datuk V. Sithambaran berkata, mahkamah dijangka mendengar keterangan daripada 40 orang saksi pendakwaan lagi.

“Kira-kira 30 peratus daripada proses perbicaraan telah selesai, ada lebih 40 lagi saksi pendakwaan,” kata beliau kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, di sini hari ini.

Setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 37 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu dan saksi-saksi itu akan terus memberi keterangan apabila perbicaraan bersambung pada 28 Mei.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 39 hari untuk perbicaraan itu mulai 28 Mei hingga 29 Mei, 10 hingga 14 Jun, 17 hingga 21 Jun, 1 hingga 3 Julai dan 8 hingga 15 Ogos.

“Tarikh 14 Mei dan 21 Jun jatuh pada hari Jumaat, oleh itu perbicaraan akan hanya diadakan separuh hari, manakala dari 8 Julai hingga 15 Ogos, tiada prosiding pada setiap hari Jumaat,“ kata Hakim Mohd Nazlan.

Najib diwakili peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib, 66, Perdana Menteri Malaysia keenam, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan memasuki hari ke-18 pada 15 Mei dan mahkamah telah mendengar keterangan daripada saksi pendakwaan yang ke-37.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh-tarikh baru untuk menyambung perbicaraan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close