Berita UtamaDunia

Palestin desak ICC segerakan siasatan jenayah perang Israel

Dunia Islam diminta bantu singkirkan Zionis yang rampas hak Palestin

THE HAGUE, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Palestin menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera memulakan siasatan terhadap jenayah perang dan aparteid yang dilakukan Israel terhadap penduduknya.

Di tengah ketegangan dengan negara Yahudi, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki mahukan Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda mempercepatkan dakwaan susulan kedudukan semasa yang masih berada di bawah jajahan rejim Zionis.

Dalam pertemuan bersama Bensouda di The Hague, Belanda, semalam, Riyad mengakui sedih apabila rakyat Palestin terus menjadi mangsa kekejaman pengganas Israel, tanpa sebarang pendakwaan terhadap mereka, walaupun tindakan yang dilakukan di luar batas kemanusiaan.

Justeru, beliau menuntut ICC melakukan siasatan segera, bagi mengelakkan perancangan Israel memperluaskan jajahan mereka di Tebing Barat.

Bagi mempermudahkan dakwaan, Riyad menyerahkan laporan lengkap mengenai kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin kepada Bensouda.

Beliau turut menegaskan, ICC perlu memainkan peranan membela nasib rakyat Palestin kerana keganasan Israel selama ini tidak pernah adil, malah lebih kepada bentuk penjajahan.

Riyad juga mengetengahkan isu penempatan, menganggapnya sebagai ancaman tunggal paling berbahaya terhadap kehidupan dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

Dalam perkembangan lain, Majlis Kebangsaan Palestin (PNC) menuntut Parlimen antarabangsa membela nasib umat Islam negara itu yang diusir keluar dari tanah air mereka sejak Mei 1948.

Ketua PNC, Saleem al-Zaanoun berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada negara Arab, negara Islam mengenai nasib rakyat yang masih merempat di bumi Palestin.

Katanya, kandungan surat itu meminta sokongan dunia membantu untuk menyingkirkan Zionis yang telah merampas hak dan kebebasan penduduk Palestin. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close