Berita UtamaUtama

Isu beban kerja guru diselesai secara berperingkat: NUTP

Kementerian Pendidikan garis 3 fasa penyelesaian, harap guru sabar

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Isu bebanan tugas yang menghimpit golongan guru di negara ini akan diselesaikan secara berperingkat, demikian menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihak kesatuan telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.

“Dalam isu ini pihak kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif membabitkan tiga fasa, iaitu yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang…jadi harap guru-guru dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama News Channel yang bertajuk: Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi, malam tadi.

Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang telah menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan awal tahun ini.

Kesemua inisiatif itu diperkenalkan memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan bukannya menjadikan pekerjaan mulia itu sesuatu yang menyeksa dan membebankan.

Aminuddin dalam pada itu menafikan guru-guru yang membangkitkan isu beban kerja berlebihan itu sebagai malas sebaliknya memahami kerja-kerja tambahan itu menyebabkan guru-guru tidak dapat menumpukan masa yang lebih banyak dengan pelajar dalam kelas.

“Kita telah mendengar amanat sempena Hari Guru yang disampaikan oleh Menteri (Pendidikan) Dr Maszlee tadi bahawa isu ini akan diselesaikan…saya harap guru-guru akan bersabar menanti detik (perubahan) kerana ia tidak boleh dibuat dalam sekelip mata,” katanya.

Maszlee ketika sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pagi semalam berkata, beberapa inisiatif sedang dilakukan bagi menambah baik tugas guru di sekolah.

Ia termasuk menghentikan pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close