Berita UtamaDuniaEropahUtama

Austria lulus larangan pakai tudung di sekolah rendah

Pemakaian patka oleh pelajar Sikh dan kippa Yahudi dibenarkan

VIENNA, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Anggota Parlimen Austria semalam, meluluskan undang-undang melarang pelajar sekolah rendah memakai tudung – peraturan yang dicadangkan oleh parti pemerintah negara itu.

Untuk mengelak dituduh mendiskriminasi umat Islam, kenyataan larangan itu ditulis dengan merujuk kepada ‘pakaian ideologi atau agama yang berkaitan penutup kepala’.

Bagaimanapun, wakil gabungan pemerintah, Parti Rakyat (OeVP) dan Parti Kebebasan (FPOe), menyatakan dengan jelas bahawa larangan itu menyasarkan tudung kepala masyarakat muslim.

Jurucakap Biro Pendidikan FPOe, Wendeling Moelzer berkata, undang-undang itu adalah ‘isyarat menentang politik Islam’, sementara Ahli Parlimen OeVP, Rudolf Taschner pula berkata, peraturan itu untuk membebaskan kanak-kanak perempuan daripada penindasan.

Bagaimanapun kerajaan berkata, penutup kepala dipakai budak lelaki Sikh dan Yahudi tidak termaasuk dalam undang-undang itu.

Pertubuhan Komuniti Islam Austria (IGGOe) sebelum ini mengecam cadangan itu sebagai memalukan dan ‘taktik pengalihan’.

IGGOe berkata, dalam apa-apa kes hanya sejumlah kecil sahaja pelajar yang terbabit.

Hampir keseluruhan pemimpin pembangkang menentang peraturan itu, dengan sesetengah Ahli Parlimen menuduh kerajaan menumpukan perhatian kepada ‘tajuk berita positif’ berbanding kebajikan kanak-kanak.

Kerajaan Austria bagaimanapun, menjangkakan undang-undang itu akan dicabar di Mahkamah Perlembagaan, sama ada atas dasar diskriminasi keagamaan atau kerana undang-undang sama yang mempengaruhi sekolah biasanya diluluskan dengan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

OeVP dan FPOe membentuk gabungan pada lewat 2017 selepas pilihan raya negara itu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close